Ahad, 17 Mei 2009

KEDAI HANYA PISAU

Kadang-kadang saya melihat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis pisau (walaupun bukan dari kesemua jenis) di pasar-pasar malam dan di tapak-tapak jualan. Gerai sebegini juga mampu menarik minat dan perhatian ramai pengunjung untuk melihat dan membeli jenis pisau yang dikehendaki.


Bagi memajukan lagi corak perniagaan ini, saya cadangkan pengusaha boleh membuka kedai yang eksklusif menjual hanya pisau sahaja. Jika perlu, pengusaha boleh mendapatkan bantuan modal dan sebagainya melalui institusi-institusi kerajaan yang berkaitan. Sedikit kajian berkenaan jenis-jenis pisau dan funginya, serta kajian pemasaran boleh dijalankan.


Susun atur dalam kedai mesti menarik dan mesra pelanggan. Jenis-jenis pisau disusun mengikut jenis kegunaan dan harganya. Contohnya pelbagai pisau memasak mempunyai banyak kategori dari kegunaan untuk daging, buah, roti, menghiris, memotong dan pelbagai lagi. Harga dan jenama juga terdapat pelbagai variasi, mengikut kualiti dan mutu bahan pisau itu diperbuat.

Selain itu, pisau untuk kegunaan lain juga turut dijual seperti pisau menyembelih, memburu, memancing, hobi, mengukir, termasuklah pisau yang mungkin untuk tujuan hiasan dan koleksi pengumpul. Pisau-pisau tersebut juga mempunyai pelbagai variasi, jenama dan harga. Tidak ketinggalan pisau-pisau untuk kegunaan aktiviti berkebun seperti pelbagai jenis parang dan golok.

Koleksi hiasan seperti senjata atau replikanya juga boleh turut dijual seperti keris, badik dan lain-lainnya. Saya fikir konsep pelbagai jenis pisau ini dijual di kedai 'Hanya Pisau' mampu mendatangkan pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha serta memenuhi dengan lebih tepat lagi keperluan pengguna. Jangan lupa untuk turut menjual alat-alat mengasah pelbagai jenis pisau serta sarung-sarungnya (jenis yang berkaitan).

Sebagai nilai tambah, kedai mungkin boleh memberikan khidmat nasihat dan khidmat mengasah atau membaiki pisau yang dibeli dari kedai tersebut secara percuma.