Jumaat, 24 Jun 2011

SEDEKAH UMUM DI MASJID


Sebagai umat Islam, kita sangat dituntut memakmurkan masjid dengan solat jamaah, majlis ilmiah, program mahabbah, kemasyarakatan, ihya Ramdhan, forum dan lain-lain perkara kebaikan terutamanya yang membawa ke arah kebaikan umum komuniti setempat.

Untuk melaksanakan pelbagai program di masjid, termasuklah pengurusan fardhu kifayah seperti pusat kaunseling setempat, khairat pengurusan jenazah, dan juga perkara-perkara yang melibatkan keceriaan masjid dan kawasan sekitarnya memang memerlukan perbelanjaan yang agak banyak dan berterusan. Sebahagian sumber perbelanjaan diperolehi melalui hasil sumbangan orang ramai dan masyarakat setempat.

Sumbangan kepada masjid biasanya diberikan di dalam bentuk wang yang dimasukkan ke dalam tabung masjid atau diserahkan terus kepada pihak pengurusan masjid.

Saya merasakan ada sumbangan-sumbangan di dalam bentuk lain boleh juga dihulurkan oleh orang ramai yang ingin membuat kebajikan dan mencari redha Ilahi. Antaranya: mendermakan selipar untuk kegunaan umum (di tandas atau di tempat wudhu), meletakkan botol minyak Attar yang harum di beberapa tempat yang bersesuaian dalam masjid (seperti di pintu-pintu masuk) supaya boleh digunakan jamaah lain, meletakkan botol sabun pencuci tangan/pembasmi kuman di kawasan wudhu, atau lain-lain lagi perkara kecil namun diperlukan oleh sesetengah orang lain.

Selamat bersedekah.

Rabu, 15 Jun 2011

PROJEK CCTV DI SEKOLAH


Berikutan kes-kes buli, pergaduhan, pecah masuk ke bilik-bilik penting, kecurian, pencerobohan ke kawasan sekolah yang kerap berlaku sekarang ini di dalam negara akhir-akhir ini, saya merasakan perlu mewujudkan satu sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang menyeluruh di semua sekolah-sekolah seluruh negara terutama di sekolah-sekolah yang berpotensi tinggi. Ini penting bagi mencegah kes buli di kalangan pelajar, pencerobohan oleh kumpulan-kumpulan samseng luar, kecurian, kes pukul guru, sekali gus dapat melindungi keselamatan harta benda sekolah yang berharga dan keselamatan pelajar dan guru juga.

Kementerian mungkin boleh mengambil peranan menyelaraskan pemasangan sistem ini secara berperingkat-peringkat. Manakala proses pemantauan pula dikendalikan oleh pihak pentadbiran sekolah pada sesi persekolahan, dan oleh pihak Polis setelah sesi persekolahan tamat secara sambungan litar.

Kamera-kamera ini mungkin sesuai di pasang di pintu-pintu masuk sekolah, pejabat, pusat sumber, makmal komputer, sekitar blok-blok atau padang yang menjadi tempat perkumpulan pelajar-pelajar.

Jika projek ini dilaksanakan, agihan kontrak pemasangan mungkin perlu dibahagi-bahagikan kepada ramai usahawan, seperti satu daerah satu usahawan/kontraktor yang bertauliah. Mudah-mudahan lebih ramai usahawan/kontraktor sebegini yang mendapat peluang masing-masing.