Khamis, 22 Mei 2008

PEMULIHARAAN SPESIS IKAN

Aktiviti penangkapan ikan di laut dalam atau pinggir pantai kian meluas kini. Antara aktiviti yang digunakan seperti pukat, jala, memancing dan sebagainya. Aktiviti memancing juga semakin diminati ramai kini. Oleh yang demikian, beberapa spesies ikan terutama yang digemari oleh pemancing atau pasaran mestilah diberi perhatian serius oleh semua pihak terlibat untuk megelakkan kepupusan.


Untuk itu ada baiknya jika diadakan satu usaha bersama iaitu dengan melibatkan pihak berkuasa, badan korporat dan individu untuk mengatasi masalah ini. Saya mencadangkan diadakan kolam pembiakan spesies-spesies terpilih melalui sangkar-sangkar ternakan ikan di kuala sungai atau teluk-teluk terlindung, dan dilepaskan ke habitat-habitat yang bersesuaian apabila tiba masanya.

Bagi mereka yang mengusahakan perniagaan ternakan ikan sangkar juga mungkin boleh digalakkan untuk melepaskan sepasang spesies ikan ke sungai atau laut pada setiap musim. Untung berniaga pun ada, untung memelihara alam pun dapat, insyaAllah.

Selasa, 13 Mei 2008

KEBUN AWAM

Berkebun mungkin merupakan antara satu aktiviti yang digemari masyarakat kita dan sesetengahnya mengkin menjadikannya sebagai hobi di masa terluang. Ada yang berkebun bunga untuk mengindahkan suasana persekitaran dan ada pula berkebun sayur untuk menikmati hasilnya sambil mengurangkan perbelanjaan membeli sayuran atau buahan di pasar. Ada pula yang berkebun untuk mencari rezeki dengan memasarkan hasil-hasil kebunnya.


Di sini saya tertarik terhadap satu idea untuk mengadakan satu Kebun Umum bagi kegunaan masyarakat setempat secara berkongsi. Terutamanya di penempatan-penempatan moden atau membangun seperti di Subang Jaya, Shah Alam dan lain-lain. Kebun Umum ini mungkin boleh disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan secara percuma, diadakan peraturan dan diselia dengan baik. 

Masyarakat setempat boleh pula ke kebun tersebut dan berkongsi dengan baik menggunakan tanah yang diperuntukkan untuk mereka berkebun. Hasilnya boleh dinikmati bersama. Mungkin melalui usaha sebegini, semangat kejiranan dan muhibbah di kalangan anggota masyarakat dapat dieratkan lagi. 

Tambahan pula aktiviti berkebun pula merupakan satu bentuk senaman yang berkesan dalam menjaga kesihatan. Antara tanaman yang boleh ditanam seperti sayuran, herba dan buah-buahan yang tidak terlalu besar pokoknya.