Ahad, 3 Februari 2008

SISTEM CEGAH KEBAKARAN RUMAH SEWA

Mungkin lebih baik sekiranya tuan rumah dapat menyediakan sistem pencegah kebakaran di rumah-rumah sewa seperti alat pemadam api dan sebagainya yang bersesuaian. Ini adalah kerana usaha pencegahan sentiasa lebih baik dan kita sebagai manusia sekadar mampu berusaha menyediakan persiapan yang termampu. Mungkin juga peraturan ini jika dikuatkuasakan dapat dilaksanakan pada peringkat awal mengikut kadar sewa. Contohnya jika rumah sewa melebihi RM200.00 sebulan hendaklah disediakan sistem ini.



Disamping itu dapat pula memajukan lagi perniagaan sistem pencegah kebakaran atau sistem pemadam api dalam negara.

SISTEM MEMERIKSA HARGA MELALUI WEB

Menjadi satu kebiasaan kini, pasaraya-pasaraya menyediakan alat atau sistem pemeriksa harga dalam premis perniagaan mereka. Pengguna hanya perlu menghadapkan kod bar pada produk ke atat tersebut untuk diimbas, kemudian harga dan nama produk akan ditayangkan pada skrin alat tersebut. Sistem ini memerlukan sistem komputer dan pangkalan data yang sentiasa dikemaskini dan bersepadu.




Saya mencadangkan agar pihak pengurusan pasaraya dapat melaksanakan sistem pemeriksa harga ini di laman web perniagaan masing-masing (sekiranya ada). Di laman web tersebut yang mesra pengguna, satu kotak perantara dapat disediakan dan pengguna hanya perlu menaip nama produk yang hendak diketahui harganya, contohnya Sabun Basuh, setelah ditaip, terpaparlah segala produk sabun basuh dengan harga, saiz dan namanya. Jika ditaip secara lebih khusus lagi, maka paparan juga akan dikhususkan mengikut kehendak pengguna.


Dengan itu, pengguna dapat mengamalkan kaedah perbandingan harga dan merancang perbelanjaan dengan lebih berhemat lagi.

BAIKPULIH PERABOT TERBUANG DAN JUAL


Saya biasa ternampak di kawasan-kawasan perumahan sekitar Selangor, apabila penghuni sesebuah rumah menukar perabot, kebanyakan perabot lama terutama yang ada kerosakan akan diletakkan di luar pagar atau di tepi jalan. Kadang-kadang kerosakan tidak seteruk mana.



Oleh itu, mungkin jika ada pengusaha perabot terutama secara kecil-kecilan yang berminat, mempunyai kenderaan dan bengkel dapat mengangkut perabot-perabot tersebut, dibawa ke bengkel dan dibaikpulih, ditukar kulit, dicat atau sebagainya. Seterusnya dapat dijual pula dengan harga yang lebih rendah berbanding perabot-perabot baru. Bagi saya, ini merupakan satu perniagaan yang kecil tetapi boleh membawa keuntungan di samping kita mengurangkan pembuangan produk-produk kayu, sekali gus mengurangkan penebangan pokok secara berleluasa.