Sabtu, 27 Jun 2009

CUBA BUAT UBAT RESDUNG

Selalulah memasukkan air ke dalam hidung (seperti berwuduk). Masukkan sedalam-dalamnya dan hembuskan semula. Bagi sesetengah orang mungkin merasa sedikit pedih di dalam hidung. Petua mengurangkan rasa pedih ialah sebelum memasukkan air, pastikan kita menarik nafas secukupnya, kemudian baru masukkan air ke dalam hidung. Ini memudahkan kita mengawal kelajuan dan jumlah air yang masuk melalui hidung. Cuba sedikit demi sedikit, insyaAllah lama-lama nanti pandailah. Setelah rongga dalaman hidung bersih, pernafasan menjadi lebih segar, insyaAllah.



Selain itu, boleh juga membuat corong asap resdung sendiri. Banyak cara yang ada. Antaranya dengan menggunakan sehelai kain kapas putih berukuran lebih kurang 25cm x 25cm. Gosokkan dengan lilin (seeloknya guna bee's wax), pastu gulung membentuk corong panjang. Sediakan sebesen kecil air, sebelah limau nipis dan sebilah gunting. Nyalakan corong pada sebelah atasnya dan apabila asap telah keluar di bawahnya, bolehlah mula meratakan asap ke seluruh muka dan telinga dengan menggerakkan corong tadi. Apabila bahagian yang terbakar sudah agak panjang, guntinglah ke atas permukaan air di dalam besen kecil tadi. Setelah selesai pengasapan dilakukan, biasanya akan terdapat selaput lapisan di atas muka. Bersihkan dengan limau nipis tadi. Untuk memeriksa hama-hama resdung, buka gulungan corong kain yang teringgal sedikit tadi dan kikiskan dengan mata pisau. Terdapat habuk kekuningan yang melekat pada mata pisau, boleh dibakarkan dan ianya bertukar warna merah dan cair. Tetapi untuk melakukan proses pengasapan ini perlulah mempunyai sedikit kepakaran dan menjaga ciri-ciri keselamatan.

Untuk membuat pil pula, ambil bunga raya (sebaiknya putih), bunga senduduk (sebaiknya putih) dan dijemur kering. Beras dikisar atau digiling menjadi serbuk. Sedikit serbuk kunyit. Empat bahan tadi diadun dengan sedikit air dan dibentuk bulat dan kecil, seterusnya dijemur kering. Simpan di dalam bekas setelah kering. Boleh dimakan satu ke dua biji sehari atau dicampur air seperti bedak sejuk dan disapu ke muka.

Selamat mencuba.

Rabu, 10 Jun 2009

BENDERA KECIL KENDERAAN KONVOI KAHWIN

Telah menjadi kebiasaan kini, setiap musim cuti persekolahan dipenuhi dengan majlis-majlis pertunangan, pernikahan atau kenduri kahwin. Juga di zaman global kini, lebih ramai pasangan berkahwin antara dua negeri yang agak jauh jaraknya. Oleh itu, banyak jugalah konvoi berkenderaan dijalankan untuk urusan rombongan pengantin lelaki ke upacara pertunangan dan akad nikah serta juga rombongan sambut menantu. Biasanya terdapat sesetengan konvoi yang menggunakan renda atau reben yang diikat di antena kenderaan masing-masing dengan warna yang seragam sebagai tanda ahli konvoi rombongan tersebut dan menceriakan konvoi ke majlis yang penuh kemeriahan itu.



Saya cadangkan dibuat bendera-bendera kecil dan dikibarkan di cermin kereta ahli konvoi. Bendera kecil itu boleh direka dengan seragam, menarik menurut daya kreativiti. Boleh dibuat sendiri atau ditempah di kedai-kedai peralatan perkahwinan. Mungkin kedai-kedai ini boleh juga menambah idea ini sebagai satu lagi produk dan perkhidmatan yang dapat ditawarkan kepada bakal pelanggan. Saya percaya bendera kecil ini nanti mampu lebih menceriakan lagi konvoi dan majlis perkahwinan serta boleh dijadikan hadiah kenang-kenangan kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

SATU POLISIINSURANS UTK SEMUA KENDERAAN

Sekarang ini saya percaya ramai orang merasai kesan kegawatan ekonomi, kenaikan kos perbelanjaan, kesukaran untuk menabung dan pelbagai lagi masalah berkaitan kewangan peribadi. Di samping itu, ramai juga yang memiliki lebih dari satu kenderaan pada satu-satu masa seperti seorang mungkin memiliki sebuah kereta dan sebuah motosikal. Mungkin ramai juga yang memiliki lebih dari itu termasuklah individu, syarikat-syarikat perniagaan termasuklah syarikat pengangkutan awam.

Setiap tahun, setiap kenderaan bermotor yang dimiliki mesti diperbaharui polisi insurans masing-masing. Saya percaya ramai yang merasa terbeban dengan kos memperbaharui polisi insurans ini di samping kos-kos lain seperti cukai jalan, kos penyenggaraan dan lain-lain termasuklah kos bahan api dan tol.


Oleh itu, saya mencadangkan agar pihak berkuasa dapat mewujud dan memperkenalkan satu skim polisi insurans yang berpatutan kosnya (munasabah dan tidak membebankan, mungkin lebih murah) yang dinamakan ke atas pemilik kenderaan peribadi dan bukan dinamakan ke atas setiap kenderaan bermotor secara satu per satu. Mungkin lebihan caj yang sedikit berbeza boleh dikenakan ke atas setiap lebihan bilangan kenderaan yang dimiliki. Yang pentingnya pemilik kenderaan tidak terbeban dengan kos memperbaharui polisi insurans setiap tahun. Contohnya, seorang yang memiliki 3 buah kereta peribadi mungkin membayar sekitar RM800 x 3 kereta untuk polisi insurans setiap tahun. Jika cadangan ini dapat dipraktikkan, mungkin beliau hanya perlu membayar RM800 + RM100 + RM100 sahaja setiap tahun.

Alangkah baiknya lagi jika sebahagian besar duit bayaran insurans yang terkumpul setelah sekian tahun itu, turut diubah menjadi simpanan yang boleh diambil kembali oleh pemilik yang membayarnya saban tahun itu, jika tidak berlaku sebarang tuntutan gantirugi akibat kemalangan atau seumpamanya.

Polisi yang berlainan sedikit mungkin boleh dikaji untuk kenderaan bermotor yang dimiliki oleh syarikat-syarikat perniagaan. Dengan pengurangan bebanan kos, boleh menceriakan individu dan syarikat-syarikat pula boleh menjalankan perniagaan dengan lebih kos efektif dan mungkin dapat pula menurunkan harga jualan produk atau perkhidmatan mereka.