Isnin, 26 November 2007

KAMUS/ENSIKLOPEDIA TAJWID

Saya pernah berhasrat untuk menyusun buku berkenaan ilmu Tajwid dan Qiraat ini di dalam bentuk kamus atau sebuah ensiklopedia. Namun di atas banyak faktor seperti kewangan, rujukan dan kepakaran, maka usaha tersebut terbantut begitu sahaja. Kini saya berkongsi idea tersebut di ruangan ini, sekiranya ada sesiapa yang mampu berminat untuk merealisasikannya.



Idea tersebut timbul apabila melihat kepada keperluan susun atur perihal ilmu ini dalam satu buku yang komprehensif timbul. Lihat sahaja di kedai-kedai buku, rata-rata buku Ilmu Tajwid di susun di dalam bentuk penerangan mengikut bab. Ini memang sangat baik kerana menjelaskan secara terperinci akan sesuatu tajuk di dalam bab-bab ilmu Tajwid. Cuma di zaman yang semakin canggih ini, saya melihat keperluan untuk mnghasilkan sebuah kamus/ensiklopedia amat diperlukan. Sebahagian daripada mereka yang mempelajari ilmu Tajwid mungkin memahami ilmu yang dibincangkan, namun mungkin terdapat sebahagian yang lupa akan beberapa istilah-istilah dan takrifan tepat sesuatu istilah Tajwid atau Qiraat.
Dengan terhasilnya buku Kamus / Ensiklopedia Ilmu Tajwid ini, maka diharapkan dapat menjadi koleksi guru-guru Quran dan Tajwid, memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan seperti pelajar j-QAF, tahfiz, sekolah agama, menambahkan lagi pilihan bahan rujukan ilmu Tajwid, dan seterusnya meningkatkan lagi kemahsyuran serta kepentingan ilmu ini.

Contohnya:
H
Harf Ghunnah = [ditulis Arab] [keterangan:huruf dengung bersabdu iaitu pada huruf Nun bersabdu dan Mim bersabdu yang wajid didengungkan dengan sempurna, berlaku dalam satu perkataan atau dalam pertemuan dua perkataan yang diwasolkan,][contoh][nama lain, jika ada: juga dikenali sebagai Idgham Bi Ghunnah Musyaddadah, Wajibul Ghunnah atau Ghunnah.]
I
Ikhfa’ Majazi = sebutan Ikhfa’ secara sama-samar seperti pada Iqlab dan Ikhfa’ Syafawi.
Begitulah seterusnya, bermula dari A sehingga Z. Banyak sekali istilah-istilah yang boleh dihimpunkan bermula dari huruf Alif, hukum tajwid, sifat, makhraj, tahap kelajuan bacaan, simbol, qiroat dan pelbagai lagi.

Namun, seeloknya usaha menyusun buku ini dilakukan secara berkumpulan dan diketuai oleh seorang baik pemahaman/pakar, di samping itu mempunyai kemahiran menyusun maksud istilah supaya seragam dan bersistematik sekaligus mesra pembaca. Mungkin kalau ada berminat nak buat kumpulan penyusun, boleh saya sertai sama.

Khamis, 15 November 2007

MENGUSAHAKAN FILEM BERFAEDAH

Kecanggihan teknologi media sekarang ni makin meningkat ditambah pula dengan penglibatan teknologi komputer ke dalam usaha kreatif pembikinan filem terutama bagi menambah dan merealisasikan kesan-kesan khas. Namun bagaimana pula dengan kualiti isi dan pendidikan yang terdapat dalam hasil kreatif tersebut? Apakah dapat menambah kebaikan ke dalam kualiti hidup setiap modal insan yang ada dalam negara ini?



Justeru, saya ingin berkongsi idea berkenaan perkara ini. Mungkin lebih bermanfaat sekiranya pengusaha-pengusaha filem ini dengan menggunakan kepakaran dalam teknologi yang canggih ini untuk kesan khasnya, 3D, animasi dan pelbagai lagi dapat menghasilkan filem-filem dengan isi-isi yang jelas diterangkan di dalam Quran dan Hadis - antaranya kisah alam barzakh, proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh, peristiwa-peristiwa akhir zaman dan pelbagai lagi, bahkan mungkin beberapa senario yang digambarkan di Padang Mahsyar atau seumpamanya. Gambaran-gambaran tersebut beserta tujuan yang ikhlas dan benar pada jalan Allah diharapkan dapat memberikan kesan positif di dalam memandu kehidupan setiap insan untuk mencapai maksud sebenar penciptaan insan.

Di samping itu, proses penghasilan filem-filem sebegini mampu juga memberi peluang pekerjaan kepada ramai lulusan agama untuk menjadi penulis skrip, jalan cerita dan sebagainya. Mereka telah maju dalam industri nasyid, mungkin ini juga peluang mereka untuk maju di dalam industri perfileman.

Selasa, 13 November 2007

PENERAPAN BUDAYA MALU

Dewasa ini kita melihat pelbagai masalah berkaitan sosial berlaku di dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, rempit, dadah, ponteng sekolah, pakaian terdedah, kurang sopan, budaya merokok. Banyak lagi dapat disenaraikan dan yang sedihnya ialah majoriti yang terlibat ialah Melayu Islam. Bukankah bangsa kita ini suatu masa dahulu merupakan bangsa yang penuh dengan tatasusila sosial, etika pergaulan dan budi pekerti? Jika disebut sahaja perihal adat sopan dan seni beradab, maka sudah tentunya masyarakat Melayulah pemiliknya. Bagaimana dengan sekarang ini?



Apa yang saya lihat selaku insan kecil yang lemah ini, bangsa kita kini rata-ratanya telah hilang sifat atau budaya merasa malu sedikit demi sedikit, dan mungkin kini kian parah. Bukankah di zaman kegemilangan adat dan tatasusila Melayu dahulu, budaya merasa malu ini cukup menebal? Sekaligus perasaan malu bertempat yang sewajarnya menghalang anak bangsa dari melakukan perkara-perkara yang dianggap dan diterima oleh masyarakat sebagai perkara yang memalukan.

Bukankah dahulunya merupakan suatu perkara yang memalukan jika seorang anak gadis bermesra dengan teruna? Bukankan dahulunya amat memalukan jika ada ahli keluarga berpakaian yang kurang sopan apatah lagi menjolok mata? Bukankah dahulu amat memalukan jika anak-anak berkelakuan kurang sopan atau tidak beradab dengan orang-orang tua? Dan bukankah juga memalukan jika melakukan sesuatu yang mengganggu ketenteraman awam? Bandingkanlah halnya dengan zaman sekarang ini. Di manakah hilangnya sifat malu itu?

Alangkah baiknya jika budaya merasa malu bertempat ini dapat dipraktik dan diserapkan semul dalam masyarakat Melayu kini. Mulakan dengan perasaan malu dalam diri sendiri, seterusnya malu di dalam keluarga jika ada ahlinya yang bertentangan nilai akhlak dan moralnya, kemudian malu dalam masyarakat setempat yang melibatkan peranan Ketua-ketua Kampung, pemimpin dan seumpamanya.

Rabu, 7 November 2007

Keperluan Pertanian

Saya kira satu usaha yang bagus berkenaan menjadikan pertanian satu perniagaan atau satu industri yang dapat dikembangkan. Ini disebabkan kita memerlukan makanan setiap hari dan sumber makanan tersebut tentulah datangnya daripada aktiviti pertanian dan termasuklah di dalamnya penternakan dan perikanan. Apatah lagi sekarang ini, masyarakat kita mempunyai bermacam-macam menu dan hidangan daripada kelas bawahan, pertengahan dan atasan. Kepelbagaian tersebut merancakkan lagi pembekalan bahan-bahan mentahnya iaitulah daripada industri pertanian. Belum dikira lagi untuk keperluan ekport, bekalan ke pelbagai jenis asrama, industri hiasan laman dan sebagainya yang bersumberkan pertanian.

Idea saya kali ini, di samping kita sibuk bertani, seeloknya juga kita memainkan peranan dalam usaha-usaha membina, mengeluar dan membekalkan segala peralatan dan keperluan industri pertanian seperti baja, cangkul, mesin penyembur, jentera dan banyak lagi. Dengan cara demikian saya kira kita terutamanya bumiputera dapat mengurangkan pergantungan kepada negara lain dalam bentuk import sekali gus aliran tunai kita dapat berpusing di dalam negara. Oleh itu, eloklah jika ada usahawan bumiputera membangunkan industri pembuatan keperluan-keperluan yang diceritakan tadi. Semoga ekonomi orang kita akan terus maju dan lebih ramai dapat sama-sama merasainya.

Ahad, 4 November 2007

Kelong Memancing

Ramai orang di negara kita menggemari aktiviti memancing. Sesetengahnya buat mengisi masa lapang, bersantai bersama rakan, dijadikan hobi dan mungkin bagi sesetengah yang lain sebagai punca rezeki. Terdapat pula beberapa jenis aktiviti memancing ikan seperti memancing di laut dalam, di tepi pantai/sungai, di kolam, memancing ikan air tawar dengan pelbagai teknik yang baik. Jika diperhatikan antara yang mendapat sambutan ialah memancing di tepi pantai. Lihat sahaja pertandingan memancing pun banyak diadakan di tepi pantai. Selain kosnya lebih murah, cara ini juga memudahkan pemancing untuk bersantai bersama rakan atau keluarga.
Saya mencadangkan sekiranya ada pengusaha yang berminat, bolehlah didirikan kelong (mungkin daripada konkrit) yang menganjur sekitar 100 meter atau lebih ke laut. Keadaan yang memberi kemudahan da keselesaan kepada pemancing. Ditambah lagi jarak sedemikian mungkin memberi peluang untuk menaikkan ikan-ikan bersaiz lebih besar. Tambahan pula dengan teknologi yang ada kini memungkinkan juga pembinaannya mengurangkan kekuatan ombak ke pantai terutama pada musim tengkujuh.
Mungkin juga pengusaha safari atau chalet tepi pantai lebih sesuai memperkenalkannya di tempat mereka, dan jika hendak dikenakan bayaran kepada pengguna, biarlah berpatutan kerana keseimbangan antara keuntungan dan konsep tolong-menolong amat penting dalam kejayaan ekonomi ummah.

Video Majlis Kahwin

Kali ini saya ingin berkongsi satu idea berkaitan proses penggambaran majlis nikah kawin, tak kisahlah samada semasa upacara akad nikah, peragaan pengantin (tapi dengan adab-adab Islam seperti menjaga batas pergaulan dan aurat), kenduri, kunjungan tetamu atau lain-lain upacara semasa majlis berlangsung. Sudah menjadi kelaziman di hari ini ada kamera video yang merakam perjalanan untuk nanti dibuat kenangan dalam bentuk CD atau video. Kalau dulu guna kamera sahaja, tetapi sekarang kita boleh lihat kadang-kadang ada jurukamera profesional lagi terutama kepada yang mampu.
Apa kata rakaman tersebut kita indah dan serikan lagi dengan telatah ceria lagi sopan seorang atau dua pengacara. Macam dalam TV jugaklah, lagi menarik dan yang pastinya ada penerangan kepada setiap sesi rakaman dan juga boleh menemuramah tetamu, keluarga dan pengantin sendiri. Atau dalam bahasa sekarang ni 'happening'.

Ahad, 28 Oktober 2007

Ukiran Kayu Tradisional

Pernah dulu Wamad berfikir akan idea membina badan bas pengangkutan awam tempatan menggunakan papan kayu dan diukir cantik, bersesuaian untuk membantu usahawan ukiran kayu tradisional bumiputera dan menonjolkan kesenian tradisional tempatan selain daripada songket dan batik. Tetapi semasa saya pulang ke K.Terengganu baru, sudah wujudpun bas sedemikian. Saya kira baguslah dan diharapkan penggunaan bas tersebut dapat diperluaskan lagi ke tempat-tempat lain, seni-seni ukiran pula dapat dipelbagaikan lagi seperti konsep pelbagai ukiran pada sampan atau kapal tradisional, dan tambang yang murah agar semua orang ingin terus menggunakan setiap masa.
Idea lain Wamad berkaitan seni ukiran ini ialah semoga ada usahawan-usahawan seni ukiran kayu bumiputera menghasilkan tombol pemegang gear dan brek tangan kenderaan daripada kayu yang baik dengan corak seni ukiran yang halus dan cantik. Bentuk-bentuk yang menarik seperti bentuk hulu badik, parang dan sebagainya. Saya turut mencadangkan agar yang jualannya nanti tidaklan terlalu mahal dan biarlah berpatutan. Untung sedikit untuk satu produk tetapi kuantiti banyak laris dalam pasaran, insyaAllah untung juga nanti.

Khamis, 25 Oktober 2007

Buku Bahasa Terengganu

Di sini ada satu idea sempena tahun Melawat Terengganu tahun 2008. Mudah-mudahan boleh mempopularkan negeri Terengganu ni. Ideanya berbunyi begini, iaitu mengusahakan satu buku berbentuk Kamus (bagi perkataan tunggal seperti "jabir, repeh, 'marik" dan perkataan berganda seperti "putih seput/seleput, pendek keto`, besor 'jalo"), Tatabahasa, Bidalan/Kiasan dan Penggunaan Bahasa atau Loghat Negeri Terengganu.
Buku tersebut bolehlah dipecahkan kepada beberapa bahagian tadi tetapi dikompilasikan menjadi satu buku. Pengumpulan perbendaharaan kata dijalankan bersungguh-sungguh bagi memastikan tiada perkataan-perkataan yang mungkin tertinggal. Dalam bahagian kamus tersebut hendaklah diberikan maksud beserta keterangan perkataan tersebut beserta dengan bentuk fonetiknya bagi memudahkan menyebut perkataan tersebut, dan perkataan tersebut juga mungkin boleh ditulis dalam tulisan Rumi dan Jawi. Seterusnya contoh penggunaan perkataan tersebut secara ringkas mungkin boleh ditambah selepas keterangan perkataan itu jika diperlukan, terutamanya pada perkataan yang sukar difahami. Bagi sesetengah perkataan yang mungkin terkenal di sesesuatu daerah sahaja bolehlah juga ditandakan dengan daerah asalnya.
Bahagian Tatabahasa pula boleh menerangkan secara terperinci tentang kaedah-kaedah susunan bahasa Terengganu ini seperti contohnya "Kucing makan ikan." disusun "Ikang 'makang kucing." dan kaedah-kaedah lain yang lazim digunakan seperti kaedah membilang dan sebagainya lagi.
Mungkin untuk mengusahakan buku tersebut secara individu agak membebankan, oleh itu eloklah kiranya dapat diusahakan secara berpasukan yang boleh bekerja secara individu dan berkumpulan. Lebih baik lagi sekiranya terdapat di dalam pasukan tersebut sekurang-kurangnya seorang yang arif tentang teknik penulisan dan susunan kamus atau buku-buku tatabahasa.
Saya merasakan buku ini disamping dapat memperkenalkan negeri dan budaya Terengganu dapat pula menjadi warisan ilmu kepada generasi akan datang memandangkan semakin hari makin banyak pula perkataan lama di dalam bahasa Terengganu kian dilupakan mereka.