Rabu, 21 Oktober 2009

REKABENTUK ALMARI DAPUR

Pelbagai rekebentuk almari atau kabinet dapur boleh didapati di pasaran kini, samada yang telah siap dipasang atau pemasangan secara tempahan mengikut citarasa dan saiz. Namun di dalam arus kemodenan kini terutama bagi mereka yang memiliki rumah di bandar-bandar besar, keluasan ruang menjadi keutamaan di dalam menyusun atur almari dan kabinet.

Saya terfikirkan satu idea kabinet dapur ini dibuat secara boleh keluar dan masuk ke permukaan samada dinding, syiling atau mungkin lantai juga. Mekanisma untuk menggerakkan kabinet dari permukaan mungkin boleh direkabentuk dengan bantuan suis elektrik dan peralatan yang sesuai, atau pun mekanisma secara manual yang bersesuaian seperti magnet dan spring atau sebagainya lagi.

Ini bermakna, pada keadaan kabinet disimpan, keluasan ruang dapur dapat dirasai dan apabila kabinet dikeluarkan barang-barang keperluan dapat diambil atau disimpan dengan mudah di petak kabinet yang dikehendaki.

Semoga ada pengusaha kita yang mampu merekabentuk dan merealisasikan kabinet dapur konsep ini. Sekian.

Khamis, 8 Oktober 2009

TAYAR KUBOTA


Di Malaysia terutama di negeri Kedah, jentera kecil pemutar tanah bendang atau lebih dikenali dengan nama 'kubota' lazimnya digunakan untuk memutar tanah bendang kali kedua selepas dibajak dengan traktor pembajak. Boleh dikatakan hampir kesemua pengusaha bendang memiliki jentera 'kubota' ini. Pesawah yang tidak mempunyai jentera kecil ini adakalanya meminjam dari pesawah lain yang memilikinya, menyewa atau mengupah orang lain untuk melakukan kerja-kerja berkaitan. Kebiasaannya jentera ini digunakan untuk memutar tanah dan membadai tanah bendang sebelum proses penaburan benih padi atau penanaman anak padi.

Kadang-kadang jentera kecil ini perlu dipindahkan dari satu petak sawah ke petak yang lain. Adakalanya perlu dibawa melalui jalan raya untuk sampai ke destinasi yang dituju. Masalahnya, jentera 'kubota' yang biasanya didapati di utara semenanjung ini mempunya roda besi yang direkabentuk sesuai dengan pergerakannya di dalam petak sawah. Apabila dibawa melalui jalan raya berturap tar mungkin pergerakannya kurang sesuai dan boleh sedikit sebanyak merosakkan jalan tersebut.

Saya merasakan perlu dikaji dan di rekabentuk suatu jenis pelapik getah yang mudah dipasang dan ditanggal semula untuk membaluti roda besi tersebut bagi tujuan kemudahan perjalanannya di atas jalan berturap. Sekiranya pembalut jenis ini dapat dihasilkan dan sesuai digunakan, saya percaya ini akan membuka peluang perniagaan baru kepada orang kita pula nanti. Sambutannya juga mungkin menggalakkan. Kepada sesiapa yang ingin mencubanya, diucapkan semoga berjaya.