Jumaat, 31 Disember 2010

PUSAT SERVIS PRODUA


Sebut sahaja kenderaan keluaran Perodua, di seluruh negara kita boleh lihat. Termasuklah di utara tanah air. Di Guar Chempedak, Yan, Kedah, saya melihat satu peluang niaga dengan membuka satu pusat servis Perodua. Banyak kenderaan Perodua di sana tetapi pusat servis sedia ada terlalu jauh iaitu di Sungai Petani dan di Alor Setar. Jika ada sesiapa yang berkemampuan dan berminat untuk membuka Pusat Servis Perodua di sana, bolehlah merancang dan mengkaji, seterusnya berbincang dengan Perodua untuk urusan selanjutnya. Sekadar idea.

LEMBAGA ZAKAT DAN PENGURUSAN KEWANGAN

Sering dilihat akhir-akhir ini, pihak Pusat atau Lembaga Zakat Negeri-negeri begitu proaktif dalam usaha mengumpul dan mengutip duit zakat dari rakyat. Banyak ceramah dilaksanakan termasuklah khutbah-khutbah khas dari pihak tersebut. Tidak ketinggalan juga iklan-iklan tentang kepentingan dan kemudahan melaksanakan kewajipan zakat melalui media-media massa dan internet. Banyak kaunter zakat dibuka sehingga ada yang dibuka 7 hari seminggu untuk bulan Disember dan pelbagai lagi usaha dirancang dan dibuat untuk usaha mengumpulkan duit zakat. Syabas dan tahniah di atas usaha tersebut. Namun diharapkan gigih jugalah untuk usaha mencari dan mengagih-agihkan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan.




Saya melihat jika lebih ramai menjadi berkemampuan dengan harta, perniagaan, ternakan dan pertanian, sudah tentu lebih banyak jumlah kutipan zakat dan lebih ramai pula golongan asnaf dapat dibantu. Mungkin suatu hari nanti, sebahagian atau kesemua yang berada dalam golongan asnaf itu dapat keluar dari medan asnaf dan mampu pula mengeluarkan zakat dan membantu insan-insan lain.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar Pusat atau Lembaga Zakat Negeri-negeri yang ada dapat mengadakan satu unit bagi membantu rakyat di dalam hal khidmat nasihat pengurusan kewangan dan yang berkaitan. Antaranya pengurusan pendapatan, perbelanjaan bulanan, pengurusan hutang, pelaburan, pengurusan insurans/takaful, wasiat, perniagaan dan lain-lain. Diharapkan dengan pelaksanaan perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat untuk menguruskan kewangan masing-masing terutama di dalam era kemajuan membeli belah dan gaya hidup yang tinggi kini.

Isnin, 10 Mei 2010

ENJIN CARIAN UNTUK IMEJ

Banyak enjin carian wujud sekarang ini di internet untuk memudahkan pengguna mencari maklumat yang diperlukan dengan hanya memasukkan kata kunci yang ditaip. Hasilnya pelbagai laman web yang berkemungkinan mengandungi maklumat yang dicari mengikut kata kunci tadi dipaparkan termasuklah data, imej atau video.



Perkembangan ini bergerak pantas, jika dahulu hanya data yang dipaparkan setelah kata kunci ditaip, sekarang enjin carian boleh mencari imej atau video mengikut kata kunci yang dimasukkan.

Idea saya kali ini, adalah untuk membina satu lagi kemudahan pada enjin carian ini, iaitu mencari imej atau maklumat menerusi kemasukan imej (bukan melalui kata kunci). Contohnya, pengguna memasukkan gambar seorang yang bernama A, enjin carian seterusnya mencari di internet padanan imej yang sama dengan gambar yang dimasukkan dan memaparkan hasil carian samada gambar A yang diperolehi di laman-laman web lain, laman sosial dan sebagainya.

Mungkin teknologi imej dan 3D serta Artificial Intelligence perlu dititikberatkan dalam pembangunan enjin carian seperti ini.

Jumaat, 15 Januari 2010

PANGGUNG WAYANG KESAN KHAS


Idea berkaitan teknologi moden penggunaan kesan khas dalam bidang media elektronik sesuai juga diaplikasikan ke panggung wayang moden masa kini. Boleh dikatakan setakat hari ini kesan khas yang amat ketara di panggung wayang ialah kesan bunyi dan kualiti tayangannya. Mungkin untuk lebih kreatif lagi, dapat ditambah kesan khas gegaran pada lantai atau tempat duduk. Kesan ini mungkin lebih memberi kesan yang lebih besar kepada filem-filem aksi dan sepertinya. Begitu juga kesan angin yang disesuaikan dengan suasana filem yang ditonton. Sekadar idea berkaitan penambahbaikan teknologi moden. Baik buruk pengisian filem yang ditonton, masing-masing fikir sendiri yer.