Jumaat, 10 Julai 2009

TANAMAN RUMPUT TERNAKAN SEPANJANG LEBUHRAYA


Dewasa ini aktiviti perternakan kian bertambah pesat di seluruh negara ekoran kesedaran yang ditimbulkan bahawa pertanian, perikanan dan penternakan merupakan salah satu perniagaan yang mampu membawa keuntungan yang lumayan. Dahulu pernah saya mencadangkan idea mengadakan perniagaan sokongan terhadap industri pertanian seperti perniagaan peralatan dan kelengkapan pertanian termasuklah alat-alat ganti mesin pertanian dan sebagainya.

Kali ini, idea saya tertumpu kepada mengusahakan tanaman rumput untuk makanan ternakan. Haiwan-haiwan ternakan memerlukan makanan mungkin sehingga bertan-tan sehari di seluruh negara. Oleh yang demikian, bekalan makanan mestilah berjalan lancar dan mencukupi. Ada beberapa jenis rumput yang dikenalpasti sesuai untuk ternakan ini seperti rumput napier. Mungkin yang menjadi sedikit masalah ialah penyediaan kawasan tanaman rumput ini dengan luas.

Bagaimana jika diadakan kerjasama dengan pihak pengurusan lebuhraya-lebuhraya besar untuk mengusahakan tanaman rumput yang bersesuaian sebagai makanan ternakan ini di kiri dan kanan lebuhraya? Apabila cukup saiznya, rumput dipotong, dikumpul dan dibekalkan kepada pengusaha ternakan. Jumlah keluasan mengikut panjang lebuhraya membolehkan penanaman dan pemotongan rumput secara berperingkat dijalankan dan ini mudah-mudahan dapat memastikan bekalan berterusan.

Saya rasa ini juga merupakan salah satu peluang perniagaan, sekaligus memenuhi permintaan pengusaha. Terima kasih.

Jumaat, 3 Julai 2009

PERMAINAN KOMPUTER PERTANIAN

Menggunakan kecanggihan teknologi perisian komputer dan multimedia dewasa ini untuk membangunkan sebuah permainan komputer berbentuk taktikal dan strategi pertanian. Seperti mana permainan komputer taktikal lain yang berbentuk strategi peperangan, penaklukan dan sebagainya, pembangun boleh menggunakan konsep yang sama untuk permainan pertanian ini dengan mengadakan latarbelakang tanah, binaan bangunan untuk pertanian. Jentera dan kenderaan yang digunakan untuk sistem pertanian dari tahap rendah hingga ke tahap tinggi. Segala bentuk peralatan dan mesin yang digunakan untuk sistem pertanian seperti penyembur baja, racun, termasuklah sistem berkomputer untuk penyiraman/pembajaan mengikut tahap yang dicapai oleh pemain-pemain. Tahap yang paling rendah mungkin bermula dengan kaedah manual seperti cangkul dan pam tangan dengan tanah yang kecil. Pembangun juga membina kedai untuk pemain mendapatkan segala keperluan pertanian seperti peralatan, baikpulih, benih, baja, racun dan sebagainya. Juga boleh diadakan kursus-kursus yang perlu dihadiri dalam permainan itu bagi meningkatkan ilmu pertanian. Diadakan juga sistem jualan/pemasaran yang menguji kepandaian pemain berniaga. Diadakan juga masalah-masalah pertanian seperti makhluk perosak, jentera rosak, kecurian, atau mungkin penipuan oleh pihak ketiga, yang akan dihadapi oleh pemain dan menguji kepintaran pemain mengatasinya dengan berkesan dan jimat kos.

Diwujudkan sistem pemarkahan yang menarik dan sistem matawang yang setara dengan dunia sebenar.

Dengan adanya aplikasi ini dengan menarik dan mencabar minda, mungkin boleh meningkatkan lagi minat golongan muda hari ini untuk mengusahakan pertanian. Pertanian memang perniagaan yang menguntungkan.