Isnin, 28 Januari 2008

FILEM HIAS CERMIN



Satu industri perniagaan yang mungkin boleh diceburi oleh orang kita ialah merekabentuk dan membuat filem atau lapisan yang dilekatkan di cermin-cermin samada di pintu longsor (sliding door), tingkap, cermin kaunter dan sebagainya. Dahulu, kebiasaannya digunakan filem gelap, namun sekarang sudah digunakan lapisan berwarna cerah. Oleh itu, mungkin orang kita yang berminat dapat menggunakan kreativiti yang ada untuk menghias lapisan-lapisan tersebut dengan corak yang menarik dan indah.

PANEL PELARASAN ENJIN AUTOMATIK

Idea ini berkaitan dengan Sains dan Teknologi. Di Jepun banyak kita lihat model kereta dicipta dengan inovasi Sains dan Tekonologi yang hebat. Negara kita kini juga tidak ketinggalan memandangkan semakin ramai pakar sains dan jurutera telah dilahirkan kini.



Buat masa ini kita lihat kebanyakan kereta perlu dihantar ke pusat servis untuk pelarasan enjin seperti timing, minyak dan angin. Mungkin lebih baik lagi inovasi sekiranya satu papan muka yang mesra pengguna dapat dicipta yang tersembunyi di dalam kereta dan boleh dikeluarkan secara otomatik apabila diperlukan bagi tujuan tersebut. Mungkin juga idea INI tidak efektif dari segi kos tetapi mungkin dari segi inovasi teknologi, ianya bagus.

PERKAMPUNGAN BENDANG PADI TRADISIONAL

Sempena dengan Tahun Melawat Kedah 2008, saya berpendapat lebih elok dan menarik sekiranya satu program dapat dijalankan dengan mengusahakan perkampungan bendang padi secara tradisional. Tambahan pula di Kedah juga telah wujud Muzium Padi yang lengkap dengan sejarah dan warisan tradisional mengusahakan padi.


Program yang dimaksudkan adalah mungkin dengan memilih beberapa peserta di dalam satu kelompok kawasan bendang. Peserta diberikan elaun, bantuan dan penerangan untuk menjayakan program ini. Dengan itu, mungkin setelah program ini berjalan, pelancong dan pelawat termasuklah generasi muda hari ini dapat melihat sendiri proses penanaman padi seawal membajak sawah sehinggalah ke proses menuai dijalankan secara tradisional termasuk juga dengan pakaian semasa mengerjakan bendang tersebut.

Khamis, 17 Januari 2008

KEMAHIRAN DAN SEKOLAH PONDOK

Dewasa ini keadaan sekolah-sekolah pondok amat banyak berubah jika dibandingkan dengan keadaannya dahulu. Ada yang berubah semakin moden, ada yang ditutup dan kini kita lihat banyak usaha untuk menghidupkannya semula tetapi dengan menggunakan nama-nama seperti Maahad, Pusat Tarbiyah dan lain-lain. Saya kira usaha untuk menghidupkan semula institusi pendidikan ilmu agama ini perlu diberi penekanan. Lihat sahaja perbezaan masyarakat dulu terutama sekitar pondok-pondok pengajian agama, jelas nampak sinar syiar Islam di sana. Mungkin itu satu pilihan yang perlu kita laksanakan dalam memperelokkan semula generasi muda kini dan akan datang. Namun pendidikan agama ini saya harap usahlah terlalu diperniagakan. Walaupun sesetengahnya berstatus swasta, yurannya biarlah berpatutan. Kalau dulu, tuan-tuan guru di pondok tidak mengenakan sebarang yuran pun. Paling tidak seperti diajak bekerja bersama di sawah bendang bagi mengisi perut.



Saya berpendapat bahawa mungkin lebih elok sekiranya sistem pengajian pondok dapat diperkemaskan lagi dengan latihan persediaan untuk pekerjaan.

Di samping menyediakan pengajian berbentuk akademik, rohani dan jasmani, sekiranya dapat diadakan latihan-latihan kemahiran menurut bidang-bidang tertentu seperti kemahiran gunting rambut, jahitan, masakan, pertukangan kayu, pertanian, lanskap, penternakan dan banyak lagi serta dibimbing juga dengan latihan perniagaan dan bergaul dengan masyarakat ramai hari ini. Latihan-latihan ini saya syorkan diberi secara elektif kepada pelajar tahun akhir.

Semoga dengan adanya program seperti di atas, dapat membuka satu pintu untuk berniaga sendiri pula kepada lulusan-lulusan agama.