Isnin, 24 November 2008

HADIAH PERADUAN PERLU DIKAJI SEMULA

Sekarang ni kelihatan banyak sekali peraduan yang menaja pelbagai jenis hadiah kepada para pengguna seperti jadi jutawan, wang tunai, pembayaran bil, minyak percuma dan seumpamanya. Jika diteliti, cara untuk menang adalah bergantung kepada kebarangkalian terpilihnya peserta. Nilai kebarangkalian tersebut pula secara adatnya akan bertambah besar jika peserta atau pengguna membeli lebih banyak produk atau servis syarikat yang menawarkan hadiah. Secara tidak langsung, cara tersebut mungkin boleh menggalakkan sesetengah pengguna mengeluarkan belanja yang banyak bagi memperolehi peluang untuk menang. Persoalan yang timbul, apakah konsep perbelanjaan berhemat dapat dibudayakan di sini?

Apabila itu berlaku, kemungkinan yang paling banyak wangnya yang lebih berpeluang untuk menang disebabkan kuasa beli yang besar. Andaikata mereka ini yang menang, bertambah banyak lagi harta dan kesenangan mereka. Mungkin corak perbelanjaan orang-orang yang sedia kaya-raya tidak sama seperti orang susah atau sederhana. Mereka mungkin lebih menumpukan perbelanjaan terhadap produk/servis yang eksklusif dan mahal. Jika itu yang berlaku, mungkin pengaliran wang hanya tertumpu kepada sesetengah syarikat atau kedai yang menawarkan barangan mahal sebegitu termasuklah yang diimport. Sedangkan biasanya orang susah atau sederhana lebih berkembang corak perbelanjaan wangnya kerana menumpukan kepada banyak keperluan penting terlebih dahulu. Hasilnya banyak kedai/syarikat dapat menerima keuntungan jualan.

Konsep ini amat penting bagi memastikan pengaliran wang berlaku secara menyeluruh di dalam negara dan seterusnya membantu kestabilan ekonomi dalam negara. Justeru, saya merasakan jika ada hadiah-hadiah yang hendak diberikan termasuklah derma dan sumbangan ikhlas, utamakanlah golongan susah dan sederhana. Satu mekanisme baru mungkin perlu difikirkan oleh syarikat-syarikat yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan mereka. Sekaligus menunjukkan tahap pemasaran mereka bukan lagi berada di takuk memastikan jualan sahaja tetapi sebaliknya benar-benar berada di takuk menyediakan kebajikan umum. Sekian, hanya idea.