Ahad, 13 Januari 2013

TIPS PELABURAN EMAS PERAK

Untuk lebih berjaya dalam pelaburan emas & perak, perlulah lebih pantas ke hadapan dalam mendapatkan segala maklumat berkaitan, sebelum ia dipaparkan di media umum. 

Ini penting untuk mengurangi potensi kesilapan dan untuk memaksimakan potensi keuntungan. Termasuk juga pantas bertindak dan merancang masa ke hadapan!

MENGEMBANG BUDAYA BISNES

Jika anda seorang usahawan berjaya, pilih dan latih pekerja anda yg berpotensi utk membuka perusahaannya sendiri. Elok juga perusahaan barunya itu yg dapat dikaitkan dgn perusahaan anda spt membekalkan keperluan.

Cth: Usahawan keropok lekor yg telah berjaya:
- menilai pekerja sedia ada utk mencari prospek berpotensi;
- melatih prospek dgn asas pengurusan dan perusahaan sos lada keropok;
- prospek memulakan perusahaan tersebut dan membekalkan sos tersebut ke perusahaan keropok lekor tadi;
- boleh juga perusahaan sos lada tersebut dibangunkan secara perkongsian modal atau lain2 konsep;
- perusahaan keropok lekor fokus kpd pembuatan keropok, manakala perusahaan sos keropok dpt fokus kpd pembuatan sos;
- dari satu perusahaan yg telah berjaya, dapat pula membangunkan perusahaan sampingan baru, dan menggalakkan orang lain di dalam komuniti utk berani berniaga.
- Yang ada hanya peluang.. Jom sama2 wujudkan ia!




Jumaat, 22 Jun 2012

MAJALAH SPRM


Bagaimana jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan majalah atau buletin bulanan dengan meletakkan gambar penjenayah rasuah paling paling terkemuka (top) bagi bulan tersebut mengikut siasatan kes yang telah selesai sebagai gambar muka depannya.

Kes-kes jenayah rasuah mengikut kategorinya juga dimuatkan di dalam halaman di dalam majalah tersebut beserta gambar-gambar penjenayah-penjenayah rasuah yang telah disabitkan kesalahan.

Mungkin dengan cara ini, bakal pelaku rasuah akan lebih malu dan takut untuk melakukannya nanti.


Sekian, sekadar idea. Terima kasih. 

CERMIN GELAP DAN LAMPU HID



Selalu kita dengar operasi-operasi pihak berkuasa dan tindakan saman kepada pengguna atau pemilik kenderaan di atas kesalahan pemasangan cermin gelap (tinted) dan juga kesalahan penggunaan lampu HID. Walaupun telah ramai disaman di atas kesalahan ini, namun masih ramai yang menggunakannya dan ramai juga masih disaman di dalam operasi seterusnya pula.

Saya risau kesalahan ini akan makin sukar dibendung satu masa nanti. Oleh sebab itu, saya rasa elok jika setiap kes kesalahan tersebut, pihak berkuasa dapat pula melanjutkan siasatan ke atas kedai atau pihak yang memasang cermin gelap dan lampu HID sehingga berlakunya kesalahan yang dilakukan pengguna atau pemilik kenderaan yang telah disaman. Tindakan yang bersesuaian bolehlah dikenakan ke atas kedai atau pihak yg didapati bersalah memasangnya. Mungkin juga pendedahan atau pendidikan tentang peraturan dan senarai kesalahan di dalam pemasangan aksesori kenderaan perlu lebih dilakukan di dalam masyarakat kita hari ini melalui media-media tempatan yang ada.


Sekian, sekadar idea. Terima kasih.

Jumaat, 24 Jun 2011

SEDEKAH UMUM DI MASJID


Sebagai umat Islam, kita sangat dituntut memakmurkan masjid dengan solat jamaah, majlis ilmiah, program mahabbah, kemasyarakatan, ihya Ramdhan, forum dan lain-lain perkara kebaikan terutamanya yang membawa ke arah kebaikan umum komuniti setempat.

Untuk melaksanakan pelbagai program di masjid, termasuklah pengurusan fardhu kifayah seperti pusat kaunseling setempat, khairat pengurusan jenazah, dan juga perkara-perkara yang melibatkan keceriaan masjid dan kawasan sekitarnya memang memerlukan perbelanjaan yang agak banyak dan berterusan. Sebahagian sumber perbelanjaan diperolehi melalui hasil sumbangan orang ramai dan masyarakat setempat.

Sumbangan kepada masjid biasanya diberikan di dalam bentuk wang yang dimasukkan ke dalam tabung masjid atau diserahkan terus kepada pihak pengurusan masjid.

Saya merasakan ada sumbangan-sumbangan di dalam bentuk lain boleh juga dihulurkan oleh orang ramai yang ingin membuat kebajikan dan mencari redha Ilahi. Antaranya: mendermakan selipar untuk kegunaan umum (di tandas atau di tempat wudhu), meletakkan botol minyak Attar yang harum di beberapa tempat yang bersesuaian dalam masjid (seperti di pintu-pintu masuk) supaya boleh digunakan jamaah lain, meletakkan botol sabun pencuci tangan/pembasmi kuman di kawasan wudhu, atau lain-lain lagi perkara kecil namun diperlukan oleh sesetengah orang lain.

Selamat bersedekah.

Rabu, 15 Jun 2011

PROJEK CCTV DI SEKOLAH


Berikutan kes-kes buli, pergaduhan, pecah masuk ke bilik-bilik penting, kecurian, pencerobohan ke kawasan sekolah yang kerap berlaku sekarang ini di dalam negara akhir-akhir ini, saya merasakan perlu mewujudkan satu sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang menyeluruh di semua sekolah-sekolah seluruh negara terutama di sekolah-sekolah yang berpotensi tinggi. Ini penting bagi mencegah kes buli di kalangan pelajar, pencerobohan oleh kumpulan-kumpulan samseng luar, kecurian, kes pukul guru, sekali gus dapat melindungi keselamatan harta benda sekolah yang berharga dan keselamatan pelajar dan guru juga.

Kementerian mungkin boleh mengambil peranan menyelaraskan pemasangan sistem ini secara berperingkat-peringkat. Manakala proses pemantauan pula dikendalikan oleh pihak pentadbiran sekolah pada sesi persekolahan, dan oleh pihak Polis setelah sesi persekolahan tamat secara sambungan litar.

Kamera-kamera ini mungkin sesuai di pasang di pintu-pintu masuk sekolah, pejabat, pusat sumber, makmal komputer, sekitar blok-blok atau padang yang menjadi tempat perkumpulan pelajar-pelajar.

Jika projek ini dilaksanakan, agihan kontrak pemasangan mungkin perlu dibahagi-bahagikan kepada ramai usahawan, seperti satu daerah satu usahawan/kontraktor yang bertauliah. Mudah-mudahan lebih ramai usahawan/kontraktor sebegini yang mendapat peluang masing-masing.



Selasa, 8 Mac 2011

REUNION PLANNER

Biasanya kita mendengar kerja sebagai Event Planner atau Wedding Planner yang semakin popular terutama di bandar-bandar besar kini. Peluang untuk memberikan servis sebagai Reunion Planner pun turut cerah masa kini. Banyak alumni dan persatuan bekas pelajar berkembang pesat samada secara berdaftar atau secara tidak formal di laman-laman sosial. Bilangan ahli makin bertambah, begitu juga bilangan alumni atau persatuan bekas pelajar tersebut. Apabila umur makin bertambah, ada baiknya juga mereka berkumpul semula dan berkongsi cerita dan pengalaman.



Reunion Planner boleh memainkan peranan untuk mengatur dan menguruskan program pertemuan semula tersebut dengan bayaran yang munasabah. Pengurusannya termasuklah mengadakan hebahan tentang program perjumpaan semula itu di media-media atau menerusi surat, emel dll. Mengatur tempat dan lokasi yang bersesuaian termasuklah kos sewaan tempat dll. Menguruskan hidangan atau makan/minum semasa program seperti katering/cafe setempat/BBQ dll. Juga mengatur tentatif program secara keseluruhan seperti aktiviti, ramah mesra, sesi bergambar, permainan, hiburan, aktiviti untuk anak-anak peserta (jika ada), slide show, dll yang perlu dan menarik. Juga mungkin menguruskan cenderamata kepada setiap peserta, dan mengatur buku/majalah/album perjumpaan tersebut yang akan dipos kemudian.

Semoga idea ini menjadi salah satu peluang kerja/niaga yang baru. Terima kaseh.