Khamis, 22 Mei 2008

PEMULIHARAAN SPESIS IKAN

Aktiviti penangkapan ikan di laut dalam atau pinggir pantai kian meluas kini. Antara aktiviti yang digunakan seperti pukat, jala, memancing dan sebagainya. Aktiviti memancing juga semakin diminati ramai kini. Oleh yang demikian, beberapa spesies ikan terutama yang digemari oleh pemancing atau pasaran mestilah diberi perhatian serius oleh semua pihak terlibat untuk megelakkan kepupusan.


Untuk itu ada baiknya jika diadakan satu usaha bersama iaitu dengan melibatkan pihak berkuasa, badan korporat dan individu untuk mengatasi masalah ini. Saya mencadangkan diadakan kolam pembiakan spesies-spesies terpilih melalui sangkar-sangkar ternakan ikan di kuala sungai atau teluk-teluk terlindung, dan dilepaskan ke habitat-habitat yang bersesuaian apabila tiba masanya.

Bagi mereka yang mengusahakan perniagaan ternakan ikan sangkar juga mungkin boleh digalakkan untuk melepaskan sepasang spesies ikan ke sungai atau laut pada setiap musim. Untung berniaga pun ada, untung memelihara alam pun dapat, insyaAllah.

Selasa, 13 Mei 2008

KEBUN AWAM

Berkebun mungkin merupakan antara satu aktiviti yang digemari masyarakat kita dan sesetengahnya mengkin menjadikannya sebagai hobi di masa terluang. Ada yang berkebun bunga untuk mengindahkan suasana persekitaran dan ada pula berkebun sayur untuk menikmati hasilnya sambil mengurangkan perbelanjaan membeli sayuran atau buahan di pasar. Ada pula yang berkebun untuk mencari rezeki dengan memasarkan hasil-hasil kebunnya.


Di sini saya tertarik terhadap satu idea untuk mengadakan satu Kebun Umum bagi kegunaan masyarakat setempat secara berkongsi. Terutamanya di penempatan-penempatan moden atau membangun seperti di Subang Jaya, Shah Alam dan lain-lain. Kebun Umum ini mungkin boleh disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan secara percuma, diadakan peraturan dan diselia dengan baik. 

Masyarakat setempat boleh pula ke kebun tersebut dan berkongsi dengan baik menggunakan tanah yang diperuntukkan untuk mereka berkebun. Hasilnya boleh dinikmati bersama. Mungkin melalui usaha sebegini, semangat kejiranan dan muhibbah di kalangan anggota masyarakat dapat dieratkan lagi. 

Tambahan pula aktiviti berkebun pula merupakan satu bentuk senaman yang berkesan dalam menjaga kesihatan. Antara tanaman yang boleh ditanam seperti sayuran, herba dan buah-buahan yang tidak terlalu besar pokoknya.

Jumaat, 11 April 2008

PERBANKAN ISLAM

Akhir-akhir ini media agak kerap membicarakan perihal HALAL termasuklah antaranya Halal Hub, produk Halalan Toyyiba, perbankan Islam. Begitu juga telah diwar-warkan bahawa negara kita merupakan sebuah negara Islam yang pesat dan menjadi contoh model bagi negara-negara Islam lain.

Idea saya kali ini, adalah berkisar tentang kerajaan negara Islam Malaysia melaksanakan melalui Bank Negara dan badan-badan berkuasa berkaitan, akan sistem Perbankan Islam secara total atau menyeluruh di semua institusi kewangan yang wujud dan berdaftar di dalam negara ini. Tidak perlu lagi diadakan pilihan sistem perbankan Islam atau sistem perbankan konvensional seperti yang ada kini. Bukankan kebanyakan bank yang ada di dalam negara ini juga dimiliki oleh mereka yang beragama Islam? Dan bukankah kita sebuah negara Islam contoh? Dan bukankah Sistem Perbankan Islam itu ternyata lebih baik daripada sistem konvensional dari banyak aspek seperti keadilan urusan, konsep at-ta`awun (tolong-menolong) dan keberkatan dari Allah?

Justeru, saya cadangkan semua institusi kewangan melaksanakan sistem perbankan Islam secara terus dengan pengawasan pihak kerajaan. Ini adalah dilaksanakan memudahkan kepada pengguna untuk tidak lagi berada di dalam sistem perbankan konvensional. Sudah tentu juga mereka tidak perlu lagi membuat pilihan terhadap kedua-dua sistem tersebut. Sekaligus, keberkatan dari Allah dapat dirasai oleh semua rakyat, insyaAllah.

Ahad, 3 Februari 2008

SISTEM CEGAH KEBAKARAN RUMAH SEWA

Mungkin lebih baik sekiranya tuan rumah dapat menyediakan sistem pencegah kebakaran di rumah-rumah sewa seperti alat pemadam api dan sebagainya yang bersesuaian. Ini adalah kerana usaha pencegahan sentiasa lebih baik dan kita sebagai manusia sekadar mampu berusaha menyediakan persiapan yang termampu. Mungkin juga peraturan ini jika dikuatkuasakan dapat dilaksanakan pada peringkat awal mengikut kadar sewa. Contohnya jika rumah sewa melebihi RM200.00 sebulan hendaklah disediakan sistem ini.



Disamping itu dapat pula memajukan lagi perniagaan sistem pencegah kebakaran atau sistem pemadam api dalam negara.

SISTEM MEMERIKSA HARGA MELALUI WEB

Menjadi satu kebiasaan kini, pasaraya-pasaraya menyediakan alat atau sistem pemeriksa harga dalam premis perniagaan mereka. Pengguna hanya perlu menghadapkan kod bar pada produk ke atat tersebut untuk diimbas, kemudian harga dan nama produk akan ditayangkan pada skrin alat tersebut. Sistem ini memerlukan sistem komputer dan pangkalan data yang sentiasa dikemaskini dan bersepadu.




Saya mencadangkan agar pihak pengurusan pasaraya dapat melaksanakan sistem pemeriksa harga ini di laman web perniagaan masing-masing (sekiranya ada). Di laman web tersebut yang mesra pengguna, satu kotak perantara dapat disediakan dan pengguna hanya perlu menaip nama produk yang hendak diketahui harganya, contohnya Sabun Basuh, setelah ditaip, terpaparlah segala produk sabun basuh dengan harga, saiz dan namanya. Jika ditaip secara lebih khusus lagi, maka paparan juga akan dikhususkan mengikut kehendak pengguna.


Dengan itu, pengguna dapat mengamalkan kaedah perbandingan harga dan merancang perbelanjaan dengan lebih berhemat lagi.

BAIKPULIH PERABOT TERBUANG DAN JUAL


Saya biasa ternampak di kawasan-kawasan perumahan sekitar Selangor, apabila penghuni sesebuah rumah menukar perabot, kebanyakan perabot lama terutama yang ada kerosakan akan diletakkan di luar pagar atau di tepi jalan. Kadang-kadang kerosakan tidak seteruk mana.



Oleh itu, mungkin jika ada pengusaha perabot terutama secara kecil-kecilan yang berminat, mempunyai kenderaan dan bengkel dapat mengangkut perabot-perabot tersebut, dibawa ke bengkel dan dibaikpulih, ditukar kulit, dicat atau sebagainya. Seterusnya dapat dijual pula dengan harga yang lebih rendah berbanding perabot-perabot baru. Bagi saya, ini merupakan satu perniagaan yang kecil tetapi boleh membawa keuntungan di samping kita mengurangkan pembuangan produk-produk kayu, sekali gus mengurangkan penebangan pokok secara berleluasa.




Isnin, 28 Januari 2008

FILEM HIAS CERMIN



Satu industri perniagaan yang mungkin boleh diceburi oleh orang kita ialah merekabentuk dan membuat filem atau lapisan yang dilekatkan di cermin-cermin samada di pintu longsor (sliding door), tingkap, cermin kaunter dan sebagainya. Dahulu, kebiasaannya digunakan filem gelap, namun sekarang sudah digunakan lapisan berwarna cerah. Oleh itu, mungkin orang kita yang berminat dapat menggunakan kreativiti yang ada untuk menghias lapisan-lapisan tersebut dengan corak yang menarik dan indah.