Ahad, 4 Januari 2009

KEDAI AKSESORI PROTON

Memandangkan bilangan kereta keluaran Proton yang banyak di atas jalan raya serta keghairahan kebanyakan pemilik kenderaan jenama ini untuk menghias atau menyolek kereta masing-masing seperti rim sport, spoiler, skirting, tinted cermin dan pelbagai lagi aksesori termasuklah pada bahagian enjin, ekzos dan lain-lain. Saya merasakan sudah sampai masanya Proton memikirkan cadangan untuk membuka Kedai Aksesori sendiri. Antara perkara yang mungkin perlu dipertimbangkan adalah seperti rekabentuk barangan aksesori, konsep perniagaan samada milik penuh atau francais, bekalan produk samada dikilangkan sendiri atau dari kilang yang diiktiraf.


Semua jenis kenderaan keluaran Proton perlu dinilai rekabentuk dan jenis aksesori yang boleh dipasang dari sekecil-kecilnya seperti door guard hingga sebesar-besarnya seperti carrier box. Yang penting juga di sini ialah kos jualan produk dan servis perlulah tidak terlalu tinggi memandangkan ini adalah jenama tempatan dan menggalakkan kitaran ekonomi yang sihat dalam negara sekaligus mengurangkan pengaliran wang keluar negara melalui pembelian aksesori dari luar negara.

Isnin, 24 November 2008

HADIAH PERADUAN PERLU DIKAJI SEMULA

Sekarang ni kelihatan banyak sekali peraduan yang menaja pelbagai jenis hadiah kepada para pengguna seperti jadi jutawan, wang tunai, pembayaran bil, minyak percuma dan seumpamanya. Jika diteliti, cara untuk menang adalah bergantung kepada kebarangkalian terpilihnya peserta. Nilai kebarangkalian tersebut pula secara adatnya akan bertambah besar jika peserta atau pengguna membeli lebih banyak produk atau servis syarikat yang menawarkan hadiah. Secara tidak langsung, cara tersebut mungkin boleh menggalakkan sesetengah pengguna mengeluarkan belanja yang banyak bagi memperolehi peluang untuk menang. Persoalan yang timbul, apakah konsep perbelanjaan berhemat dapat dibudayakan di sini?

Apabila itu berlaku, kemungkinan yang paling banyak wangnya yang lebih berpeluang untuk menang disebabkan kuasa beli yang besar. Andaikata mereka ini yang menang, bertambah banyak lagi harta dan kesenangan mereka. Mungkin corak perbelanjaan orang-orang yang sedia kaya-raya tidak sama seperti orang susah atau sederhana. Mereka mungkin lebih menumpukan perbelanjaan terhadap produk/servis yang eksklusif dan mahal. Jika itu yang berlaku, mungkin pengaliran wang hanya tertumpu kepada sesetengah syarikat atau kedai yang menawarkan barangan mahal sebegitu termasuklah yang diimport. Sedangkan biasanya orang susah atau sederhana lebih berkembang corak perbelanjaan wangnya kerana menumpukan kepada banyak keperluan penting terlebih dahulu. Hasilnya banyak kedai/syarikat dapat menerima keuntungan jualan.

Konsep ini amat penting bagi memastikan pengaliran wang berlaku secara menyeluruh di dalam negara dan seterusnya membantu kestabilan ekonomi dalam negara. Justeru, saya merasakan jika ada hadiah-hadiah yang hendak diberikan termasuklah derma dan sumbangan ikhlas, utamakanlah golongan susah dan sederhana. Satu mekanisme baru mungkin perlu difikirkan oleh syarikat-syarikat yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan mereka. Sekaligus menunjukkan tahap pemasaran mereka bukan lagi berada di takuk memastikan jualan sahaja tetapi sebaliknya benar-benar berada di takuk menyediakan kebajikan umum. Sekian, hanya idea.

Ahad, 24 Ogos 2008

HAPUSKAN AMALAN RIBA

Agak memeranjatkan kini bahawa kadar faedah bagi pinjaman pembelian kereta import telah dinaikkan sehingga 3.8%. Sememangnya kenaikan ini menambahkan beban peminjam semua. Memandangkan negara kita ini dianggap sebagai negara Islam, terutama dengan penjenamaan Islam Hadhari, maka sepatutnya tidak ada riba seperlunya berlaku. Oleh yang demikian, bagi mengembangkan ekonomi secara Islamik, seterusnya meringankan beban para peminjam, saya mencadangkan kadar faedah bagi semua pinjaman termasuk bagi pembelian kereta dan rumah dihapuskan sama sekali. Justeru, pihak pemberi pinjaman boleh berbincang untuk memikirkan kaedah memperolehi keuntungan melalui pinjaman yang berteraskan syariah dan muamalah Islam.


Atau, sekiranya susah juga hendak dilakukan, maka saya cadangkan (harap ulama muamalah Islam dapat menegur jika salah) agar pihak pemberi pinjaman memberikan jumlah keseluruhan bunga bagi sesuatu pinjaman kepada peminjam di awal pinjamannya. Contohnya, jika peminjam membuat pinjaman pembelian kereta sebanyak RM40 ribu dan jumlah keseluruhan faedahnya RM15 ribu. Pemberi pinjaman berikanlah RM15 ribu kepada peminjam di awal pinjamannya secara sekali gus ke dalam akaun. Dengan itu, barulah dikira peminjam membayar jumlah yang dipinjamnya. Sekali lagi, jika pemberi pinjaman hendak mendapatkan keuntungan, perlulah mereka berbincang untuk mendapat kaedah berteraskan syariah. Yang pentingnya ialah dalam konsep negara Islam sebenar, sistem muamalahnya berdasarkan At-Ta`awun (bantu-membantu) dan bukannya berdasarkan keuntungan semata-mata.

Khamis, 22 Mei 2008

PEMULIHARAAN SPESIS IKAN

Aktiviti penangkapan ikan di laut dalam atau pinggir pantai kian meluas kini. Antara aktiviti yang digunakan seperti pukat, jala, memancing dan sebagainya. Aktiviti memancing juga semakin diminati ramai kini. Oleh yang demikian, beberapa spesies ikan terutama yang digemari oleh pemancing atau pasaran mestilah diberi perhatian serius oleh semua pihak terlibat untuk megelakkan kepupusan.


Untuk itu ada baiknya jika diadakan satu usaha bersama iaitu dengan melibatkan pihak berkuasa, badan korporat dan individu untuk mengatasi masalah ini. Saya mencadangkan diadakan kolam pembiakan spesies-spesies terpilih melalui sangkar-sangkar ternakan ikan di kuala sungai atau teluk-teluk terlindung, dan dilepaskan ke habitat-habitat yang bersesuaian apabila tiba masanya.

Bagi mereka yang mengusahakan perniagaan ternakan ikan sangkar juga mungkin boleh digalakkan untuk melepaskan sepasang spesies ikan ke sungai atau laut pada setiap musim. Untung berniaga pun ada, untung memelihara alam pun dapat, insyaAllah.

Selasa, 13 Mei 2008

KEBUN AWAM

Berkebun mungkin merupakan antara satu aktiviti yang digemari masyarakat kita dan sesetengahnya mengkin menjadikannya sebagai hobi di masa terluang. Ada yang berkebun bunga untuk mengindahkan suasana persekitaran dan ada pula berkebun sayur untuk menikmati hasilnya sambil mengurangkan perbelanjaan membeli sayuran atau buahan di pasar. Ada pula yang berkebun untuk mencari rezeki dengan memasarkan hasil-hasil kebunnya.


Di sini saya tertarik terhadap satu idea untuk mengadakan satu Kebun Umum bagi kegunaan masyarakat setempat secara berkongsi. Terutamanya di penempatan-penempatan moden atau membangun seperti di Subang Jaya, Shah Alam dan lain-lain. Kebun Umum ini mungkin boleh disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan secara percuma, diadakan peraturan dan diselia dengan baik. 

Masyarakat setempat boleh pula ke kebun tersebut dan berkongsi dengan baik menggunakan tanah yang diperuntukkan untuk mereka berkebun. Hasilnya boleh dinikmati bersama. Mungkin melalui usaha sebegini, semangat kejiranan dan muhibbah di kalangan anggota masyarakat dapat dieratkan lagi. 

Tambahan pula aktiviti berkebun pula merupakan satu bentuk senaman yang berkesan dalam menjaga kesihatan. Antara tanaman yang boleh ditanam seperti sayuran, herba dan buah-buahan yang tidak terlalu besar pokoknya.

Jumaat, 11 April 2008

PERBANKAN ISLAM

Akhir-akhir ini media agak kerap membicarakan perihal HALAL termasuklah antaranya Halal Hub, produk Halalan Toyyiba, perbankan Islam. Begitu juga telah diwar-warkan bahawa negara kita merupakan sebuah negara Islam yang pesat dan menjadi contoh model bagi negara-negara Islam lain.

Idea saya kali ini, adalah berkisar tentang kerajaan negara Islam Malaysia melaksanakan melalui Bank Negara dan badan-badan berkuasa berkaitan, akan sistem Perbankan Islam secara total atau menyeluruh di semua institusi kewangan yang wujud dan berdaftar di dalam negara ini. Tidak perlu lagi diadakan pilihan sistem perbankan Islam atau sistem perbankan konvensional seperti yang ada kini. Bukankan kebanyakan bank yang ada di dalam negara ini juga dimiliki oleh mereka yang beragama Islam? Dan bukankah kita sebuah negara Islam contoh? Dan bukankah Sistem Perbankan Islam itu ternyata lebih baik daripada sistem konvensional dari banyak aspek seperti keadilan urusan, konsep at-ta`awun (tolong-menolong) dan keberkatan dari Allah?

Justeru, saya cadangkan semua institusi kewangan melaksanakan sistem perbankan Islam secara terus dengan pengawasan pihak kerajaan. Ini adalah dilaksanakan memudahkan kepada pengguna untuk tidak lagi berada di dalam sistem perbankan konvensional. Sudah tentu juga mereka tidak perlu lagi membuat pilihan terhadap kedua-dua sistem tersebut. Sekaligus, keberkatan dari Allah dapat dirasai oleh semua rakyat, insyaAllah.

Ahad, 3 Februari 2008

SISTEM CEGAH KEBAKARAN RUMAH SEWA

Mungkin lebih baik sekiranya tuan rumah dapat menyediakan sistem pencegah kebakaran di rumah-rumah sewa seperti alat pemadam api dan sebagainya yang bersesuaian. Ini adalah kerana usaha pencegahan sentiasa lebih baik dan kita sebagai manusia sekadar mampu berusaha menyediakan persiapan yang termampu. Mungkin juga peraturan ini jika dikuatkuasakan dapat dilaksanakan pada peringkat awal mengikut kadar sewa. Contohnya jika rumah sewa melebihi RM200.00 sebulan hendaklah disediakan sistem ini.



Disamping itu dapat pula memajukan lagi perniagaan sistem pencegah kebakaran atau sistem pemadam api dalam negara.