Ahad, 17 Mei 2009

KEDAI HANYA PISAU

Kadang-kadang saya melihat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis pisau (walaupun bukan dari kesemua jenis) di pasar-pasar malam dan di tapak-tapak jualan. Gerai sebegini juga mampu menarik minat dan perhatian ramai pengunjung untuk melihat dan membeli jenis pisau yang dikehendaki.


Bagi memajukan lagi corak perniagaan ini, saya cadangkan pengusaha boleh membuka kedai yang eksklusif menjual hanya pisau sahaja. Jika perlu, pengusaha boleh mendapatkan bantuan modal dan sebagainya melalui institusi-institusi kerajaan yang berkaitan. Sedikit kajian berkenaan jenis-jenis pisau dan funginya, serta kajian pemasaran boleh dijalankan.


Susun atur dalam kedai mesti menarik dan mesra pelanggan. Jenis-jenis pisau disusun mengikut jenis kegunaan dan harganya. Contohnya pelbagai pisau memasak mempunyai banyak kategori dari kegunaan untuk daging, buah, roti, menghiris, memotong dan pelbagai lagi. Harga dan jenama juga terdapat pelbagai variasi, mengikut kualiti dan mutu bahan pisau itu diperbuat.

Selain itu, pisau untuk kegunaan lain juga turut dijual seperti pisau menyembelih, memburu, memancing, hobi, mengukir, termasuklah pisau yang mungkin untuk tujuan hiasan dan koleksi pengumpul. Pisau-pisau tersebut juga mempunyai pelbagai variasi, jenama dan harga. Tidak ketinggalan pisau-pisau untuk kegunaan aktiviti berkebun seperti pelbagai jenis parang dan golok.

Koleksi hiasan seperti senjata atau replikanya juga boleh turut dijual seperti keris, badik dan lain-lainnya. Saya fikir konsep pelbagai jenis pisau ini dijual di kedai 'Hanya Pisau' mampu mendatangkan pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha serta memenuhi dengan lebih tepat lagi keperluan pengguna. Jangan lupa untuk turut menjual alat-alat mengasah pelbagai jenis pisau serta sarung-sarungnya (jenis yang berkaitan).

Sebagai nilai tambah, kedai mungkin boleh memberikan khidmat nasihat dan khidmat mengasah atau membaiki pisau yang dibeli dari kedai tersebut secara percuma.

Rabu, 25 Mac 2009

PEMANASAN GLOBAL

Selain dari kempen 60 Earth Hour atau pengurangan penggunaan elektrik bagi menurunkan suhu bumi, saya merasakan banyak lagi yang boleh kita usahakan bagi mengurangkan masalah pemanasan global ini.


Kalau pada waktu dahulu, ketika belum ada hutan-hutan konkrit, pokok-pokok besar, tinggi dan menghijau menutupi sebahagian besar daratan bumi. Hal ini menyejukkan suhu bumi di samping memproses gas CO2 kepada O2. Pokok-pokok ini menyerap air dari bahagian akar dan melepaskan wap-wap air menerusi daun-daun. Apabila kini, pokok-pokok semakin berkurangan dan digantikan pua dengan bangunan-bangunan konkrit dan besar, sudah tentu mengganggu proses penyejukan bumi.

Oleh itu, saya cadangkan agar dijalankan usaha lanskap bumbung bangunan. Kajian-kajian harus dijalankan untuk menentukan jenis dan saiz pokok yang bersesuaian. Sistem pengairan untuk tujuan siraman dan laluan air juga harus diambil kira. Apabila usaha dijalankan secara menyeluruh di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur contohnya, sudah pasti pemandangan yang indah dapat dilihat dari atas. Tambahan pula tanaman-tanaman itu akan dapat pula memproses lebih banyak gas CO2 yang dilepaskan naik ke udara, mengguna pakai tenaga sinaran matahari, dan mungkin pula kawasan atas bangunan itu dapat pula dijadikan tempat rehat atau kafe bagi penghuni, pengunjung dan mereka yang bekerja di bangunan-bangunan tersebut.

Amat menarik juga sekiranya sistem semburan air (breeze) dapat diaplikasikan pada bangunan-bangunan tinggi ini terutama ketika cuaca panas. Sekadar idea.

Ahad, 4 Januari 2009

KEDAI AKSESORI PROTON

Memandangkan bilangan kereta keluaran Proton yang banyak di atas jalan raya serta keghairahan kebanyakan pemilik kenderaan jenama ini untuk menghias atau menyolek kereta masing-masing seperti rim sport, spoiler, skirting, tinted cermin dan pelbagai lagi aksesori termasuklah pada bahagian enjin, ekzos dan lain-lain. Saya merasakan sudah sampai masanya Proton memikirkan cadangan untuk membuka Kedai Aksesori sendiri. Antara perkara yang mungkin perlu dipertimbangkan adalah seperti rekabentuk barangan aksesori, konsep perniagaan samada milik penuh atau francais, bekalan produk samada dikilangkan sendiri atau dari kilang yang diiktiraf.


Semua jenis kenderaan keluaran Proton perlu dinilai rekabentuk dan jenis aksesori yang boleh dipasang dari sekecil-kecilnya seperti door guard hingga sebesar-besarnya seperti carrier box. Yang penting juga di sini ialah kos jualan produk dan servis perlulah tidak terlalu tinggi memandangkan ini adalah jenama tempatan dan menggalakkan kitaran ekonomi yang sihat dalam negara sekaligus mengurangkan pengaliran wang keluar negara melalui pembelian aksesori dari luar negara.

Isnin, 24 November 2008

HADIAH PERADUAN PERLU DIKAJI SEMULA

Sekarang ni kelihatan banyak sekali peraduan yang menaja pelbagai jenis hadiah kepada para pengguna seperti jadi jutawan, wang tunai, pembayaran bil, minyak percuma dan seumpamanya. Jika diteliti, cara untuk menang adalah bergantung kepada kebarangkalian terpilihnya peserta. Nilai kebarangkalian tersebut pula secara adatnya akan bertambah besar jika peserta atau pengguna membeli lebih banyak produk atau servis syarikat yang menawarkan hadiah. Secara tidak langsung, cara tersebut mungkin boleh menggalakkan sesetengah pengguna mengeluarkan belanja yang banyak bagi memperolehi peluang untuk menang. Persoalan yang timbul, apakah konsep perbelanjaan berhemat dapat dibudayakan di sini?

Apabila itu berlaku, kemungkinan yang paling banyak wangnya yang lebih berpeluang untuk menang disebabkan kuasa beli yang besar. Andaikata mereka ini yang menang, bertambah banyak lagi harta dan kesenangan mereka. Mungkin corak perbelanjaan orang-orang yang sedia kaya-raya tidak sama seperti orang susah atau sederhana. Mereka mungkin lebih menumpukan perbelanjaan terhadap produk/servis yang eksklusif dan mahal. Jika itu yang berlaku, mungkin pengaliran wang hanya tertumpu kepada sesetengah syarikat atau kedai yang menawarkan barangan mahal sebegitu termasuklah yang diimport. Sedangkan biasanya orang susah atau sederhana lebih berkembang corak perbelanjaan wangnya kerana menumpukan kepada banyak keperluan penting terlebih dahulu. Hasilnya banyak kedai/syarikat dapat menerima keuntungan jualan.

Konsep ini amat penting bagi memastikan pengaliran wang berlaku secara menyeluruh di dalam negara dan seterusnya membantu kestabilan ekonomi dalam negara. Justeru, saya merasakan jika ada hadiah-hadiah yang hendak diberikan termasuklah derma dan sumbangan ikhlas, utamakanlah golongan susah dan sederhana. Satu mekanisme baru mungkin perlu difikirkan oleh syarikat-syarikat yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan mereka. Sekaligus menunjukkan tahap pemasaran mereka bukan lagi berada di takuk memastikan jualan sahaja tetapi sebaliknya benar-benar berada di takuk menyediakan kebajikan umum. Sekian, hanya idea.

Ahad, 24 Ogos 2008

HAPUSKAN AMALAN RIBA

Agak memeranjatkan kini bahawa kadar faedah bagi pinjaman pembelian kereta import telah dinaikkan sehingga 3.8%. Sememangnya kenaikan ini menambahkan beban peminjam semua. Memandangkan negara kita ini dianggap sebagai negara Islam, terutama dengan penjenamaan Islam Hadhari, maka sepatutnya tidak ada riba seperlunya berlaku. Oleh yang demikian, bagi mengembangkan ekonomi secara Islamik, seterusnya meringankan beban para peminjam, saya mencadangkan kadar faedah bagi semua pinjaman termasuk bagi pembelian kereta dan rumah dihapuskan sama sekali. Justeru, pihak pemberi pinjaman boleh berbincang untuk memikirkan kaedah memperolehi keuntungan melalui pinjaman yang berteraskan syariah dan muamalah Islam.


Atau, sekiranya susah juga hendak dilakukan, maka saya cadangkan (harap ulama muamalah Islam dapat menegur jika salah) agar pihak pemberi pinjaman memberikan jumlah keseluruhan bunga bagi sesuatu pinjaman kepada peminjam di awal pinjamannya. Contohnya, jika peminjam membuat pinjaman pembelian kereta sebanyak RM40 ribu dan jumlah keseluruhan faedahnya RM15 ribu. Pemberi pinjaman berikanlah RM15 ribu kepada peminjam di awal pinjamannya secara sekali gus ke dalam akaun. Dengan itu, barulah dikira peminjam membayar jumlah yang dipinjamnya. Sekali lagi, jika pemberi pinjaman hendak mendapatkan keuntungan, perlulah mereka berbincang untuk mendapat kaedah berteraskan syariah. Yang pentingnya ialah dalam konsep negara Islam sebenar, sistem muamalahnya berdasarkan At-Ta`awun (bantu-membantu) dan bukannya berdasarkan keuntungan semata-mata.

Khamis, 22 Mei 2008

PEMULIHARAAN SPESIS IKAN

Aktiviti penangkapan ikan di laut dalam atau pinggir pantai kian meluas kini. Antara aktiviti yang digunakan seperti pukat, jala, memancing dan sebagainya. Aktiviti memancing juga semakin diminati ramai kini. Oleh yang demikian, beberapa spesies ikan terutama yang digemari oleh pemancing atau pasaran mestilah diberi perhatian serius oleh semua pihak terlibat untuk megelakkan kepupusan.


Untuk itu ada baiknya jika diadakan satu usaha bersama iaitu dengan melibatkan pihak berkuasa, badan korporat dan individu untuk mengatasi masalah ini. Saya mencadangkan diadakan kolam pembiakan spesies-spesies terpilih melalui sangkar-sangkar ternakan ikan di kuala sungai atau teluk-teluk terlindung, dan dilepaskan ke habitat-habitat yang bersesuaian apabila tiba masanya.

Bagi mereka yang mengusahakan perniagaan ternakan ikan sangkar juga mungkin boleh digalakkan untuk melepaskan sepasang spesies ikan ke sungai atau laut pada setiap musim. Untung berniaga pun ada, untung memelihara alam pun dapat, insyaAllah.

Selasa, 13 Mei 2008

KEBUN AWAM

Berkebun mungkin merupakan antara satu aktiviti yang digemari masyarakat kita dan sesetengahnya mengkin menjadikannya sebagai hobi di masa terluang. Ada yang berkebun bunga untuk mengindahkan suasana persekitaran dan ada pula berkebun sayur untuk menikmati hasilnya sambil mengurangkan perbelanjaan membeli sayuran atau buahan di pasar. Ada pula yang berkebun untuk mencari rezeki dengan memasarkan hasil-hasil kebunnya.


Di sini saya tertarik terhadap satu idea untuk mengadakan satu Kebun Umum bagi kegunaan masyarakat setempat secara berkongsi. Terutamanya di penempatan-penempatan moden atau membangun seperti di Subang Jaya, Shah Alam dan lain-lain. Kebun Umum ini mungkin boleh disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan secara percuma, diadakan peraturan dan diselia dengan baik. 

Masyarakat setempat boleh pula ke kebun tersebut dan berkongsi dengan baik menggunakan tanah yang diperuntukkan untuk mereka berkebun. Hasilnya boleh dinikmati bersama. Mungkin melalui usaha sebegini, semangat kejiranan dan muhibbah di kalangan anggota masyarakat dapat dieratkan lagi. 

Tambahan pula aktiviti berkebun pula merupakan satu bentuk senaman yang berkesan dalam menjaga kesihatan. Antara tanaman yang boleh ditanam seperti sayuran, herba dan buah-buahan yang tidak terlalu besar pokoknya.