Di sini ada satu idea sempena tahun Melawat Terengganu tahun 2008. Mudah-mudahan boleh mempopularkan negeri Terengganu ni. Ideanya berbunyi begini, iaitu mengusahakan satu buku berbentuk Kamus (bagi perkataan tunggal seperti "jabir, repeh, 'marik" dan perkataan berganda seperti "putih seput/seleput, pendek keto`, besor 'jalo"), Tatabahasa, Bidalan/Kiasan dan Penggunaan Bahasa atau Loghat Negeri Terengganu.
Buku tersebut bolehlah dipecahkan kepada beberapa bahagian tadi tetapi dikompilasikan menjadi satu buku. Pengumpulan perbendaharaan kata dijalankan bersungguh-sungguh bagi memastikan tiada perkataan-perkataan yang mungkin tertinggal. Dalam bahagian kamus tersebut hendaklah diberikan maksud beserta keterangan perkataan tersebut beserta dengan bentuk fonetiknya bagi memudahkan menyebut perkataan tersebut, dan perkataan tersebut juga mungkin boleh ditulis dalam tulisan Rumi dan Jawi. Seterusnya contoh penggunaan perkataan tersebut secara ringkas mungkin boleh ditambah selepas keterangan perkataan itu jika diperlukan, terutamanya pada perkataan yang sukar difahami. Bagi sesetengah perkataan yang mungkin terkenal di sesesuatu daerah sahaja bolehlah juga ditandakan dengan daerah asalnya.
Bahagian Tatabahasa pula boleh menerangkan secara terperinci tentang kaedah-kaedah susunan bahasa Terengganu ini seperti contohnya "Kucing makan ikan." disusun "Ikang 'makang kucing." dan kaedah-kaedah lain yang lazim digunakan seperti kaedah membilang dan sebagainya lagi.
Mungkin untuk mengusahakan buku tersebut secara individu agak membebankan, oleh itu eloklah kiranya dapat diusahakan secara berpasukan yang boleh bekerja secara individu dan berkumpulan. Lebih baik lagi sekiranya terdapat di dalam pasukan tersebut sekurang-kurangnya seorang yang arif tentang teknik penulisan dan susunan kamus atau buku-buku tatabahasa.
Saya merasakan buku ini disamping dapat memperkenalkan negeri dan budaya Terengganu dapat pula menjadi warisan ilmu kepada generasi akan datang memandangkan semakin hari makin banyak pula perkataan lama di dalam bahasa Terengganu kian dilupakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan