Khamis, 17 Januari 2008

KEMAHIRAN DAN SEKOLAH PONDOK

Dewasa ini keadaan sekolah-sekolah pondok amat banyak berubah jika dibandingkan dengan keadaannya dahulu. Ada yang berubah semakin moden, ada yang ditutup dan kini kita lihat banyak usaha untuk menghidupkannya semula tetapi dengan menggunakan nama-nama seperti Maahad, Pusat Tarbiyah dan lain-lain. Saya kira usaha untuk menghidupkan semula institusi pendidikan ilmu agama ini perlu diberi penekanan. Lihat sahaja perbezaan masyarakat dulu terutama sekitar pondok-pondok pengajian agama, jelas nampak sinar syiar Islam di sana. Mungkin itu satu pilihan yang perlu kita laksanakan dalam memperelokkan semula generasi muda kini dan akan datang. Namun pendidikan agama ini saya harap usahlah terlalu diperniagakan. Walaupun sesetengahnya berstatus swasta, yurannya biarlah berpatutan. Kalau dulu, tuan-tuan guru di pondok tidak mengenakan sebarang yuran pun. Paling tidak seperti diajak bekerja bersama di sawah bendang bagi mengisi perut.



Saya berpendapat bahawa mungkin lebih elok sekiranya sistem pengajian pondok dapat diperkemaskan lagi dengan latihan persediaan untuk pekerjaan.

Di samping menyediakan pengajian berbentuk akademik, rohani dan jasmani, sekiranya dapat diadakan latihan-latihan kemahiran menurut bidang-bidang tertentu seperti kemahiran gunting rambut, jahitan, masakan, pertukangan kayu, pertanian, lanskap, penternakan dan banyak lagi serta dibimbing juga dengan latihan perniagaan dan bergaul dengan masyarakat ramai hari ini. Latihan-latihan ini saya syorkan diberi secara elektif kepada pelajar tahun akhir.

Semoga dengan adanya program seperti di atas, dapat membuka satu pintu untuk berniaga sendiri pula kepada lulusan-lulusan agama.

Tiada ulasan: