Isnin, 28 Januari 2008

FILEM HIAS CERMIN



Satu industri perniagaan yang mungkin boleh diceburi oleh orang kita ialah merekabentuk dan membuat filem atau lapisan yang dilekatkan di cermin-cermin samada di pintu longsor (sliding door), tingkap, cermin kaunter dan sebagainya. Dahulu, kebiasaannya digunakan filem gelap, namun sekarang sudah digunakan lapisan berwarna cerah. Oleh itu, mungkin orang kita yang berminat dapat menggunakan kreativiti yang ada untuk menghias lapisan-lapisan tersebut dengan corak yang menarik dan indah.

PANEL PELARASAN ENJIN AUTOMATIK

Idea ini berkaitan dengan Sains dan Teknologi. Di Jepun banyak kita lihat model kereta dicipta dengan inovasi Sains dan Tekonologi yang hebat. Negara kita kini juga tidak ketinggalan memandangkan semakin ramai pakar sains dan jurutera telah dilahirkan kini.



Buat masa ini kita lihat kebanyakan kereta perlu dihantar ke pusat servis untuk pelarasan enjin seperti timing, minyak dan angin. Mungkin lebih baik lagi inovasi sekiranya satu papan muka yang mesra pengguna dapat dicipta yang tersembunyi di dalam kereta dan boleh dikeluarkan secara otomatik apabila diperlukan bagi tujuan tersebut. Mungkin juga idea INI tidak efektif dari segi kos tetapi mungkin dari segi inovasi teknologi, ianya bagus.

PERKAMPUNGAN BENDANG PADI TRADISIONAL

Sempena dengan Tahun Melawat Kedah 2008, saya berpendapat lebih elok dan menarik sekiranya satu program dapat dijalankan dengan mengusahakan perkampungan bendang padi secara tradisional. Tambahan pula di Kedah juga telah wujud Muzium Padi yang lengkap dengan sejarah dan warisan tradisional mengusahakan padi.


Program yang dimaksudkan adalah mungkin dengan memilih beberapa peserta di dalam satu kelompok kawasan bendang. Peserta diberikan elaun, bantuan dan penerangan untuk menjayakan program ini. Dengan itu, mungkin setelah program ini berjalan, pelancong dan pelawat termasuklah generasi muda hari ini dapat melihat sendiri proses penanaman padi seawal membajak sawah sehinggalah ke proses menuai dijalankan secara tradisional termasuk juga dengan pakaian semasa mengerjakan bendang tersebut.

Khamis, 17 Januari 2008

KEMAHIRAN DAN SEKOLAH PONDOK

Dewasa ini keadaan sekolah-sekolah pondok amat banyak berubah jika dibandingkan dengan keadaannya dahulu. Ada yang berubah semakin moden, ada yang ditutup dan kini kita lihat banyak usaha untuk menghidupkannya semula tetapi dengan menggunakan nama-nama seperti Maahad, Pusat Tarbiyah dan lain-lain. Saya kira usaha untuk menghidupkan semula institusi pendidikan ilmu agama ini perlu diberi penekanan. Lihat sahaja perbezaan masyarakat dulu terutama sekitar pondok-pondok pengajian agama, jelas nampak sinar syiar Islam di sana. Mungkin itu satu pilihan yang perlu kita laksanakan dalam memperelokkan semula generasi muda kini dan akan datang. Namun pendidikan agama ini saya harap usahlah terlalu diperniagakan. Walaupun sesetengahnya berstatus swasta, yurannya biarlah berpatutan. Kalau dulu, tuan-tuan guru di pondok tidak mengenakan sebarang yuran pun. Paling tidak seperti diajak bekerja bersama di sawah bendang bagi mengisi perut.



Saya berpendapat bahawa mungkin lebih elok sekiranya sistem pengajian pondok dapat diperkemaskan lagi dengan latihan persediaan untuk pekerjaan.

Di samping menyediakan pengajian berbentuk akademik, rohani dan jasmani, sekiranya dapat diadakan latihan-latihan kemahiran menurut bidang-bidang tertentu seperti kemahiran gunting rambut, jahitan, masakan, pertukangan kayu, pertanian, lanskap, penternakan dan banyak lagi serta dibimbing juga dengan latihan perniagaan dan bergaul dengan masyarakat ramai hari ini. Latihan-latihan ini saya syorkan diberi secara elektif kepada pelajar tahun akhir.

Semoga dengan adanya program seperti di atas, dapat membuka satu pintu untuk berniaga sendiri pula kepada lulusan-lulusan agama.

Isnin, 26 November 2007

KAMUS/ENSIKLOPEDIA TAJWID

Saya pernah berhasrat untuk menyusun buku berkenaan ilmu Tajwid dan Qiraat ini di dalam bentuk kamus atau sebuah ensiklopedia. Namun di atas banyak faktor seperti kewangan, rujukan dan kepakaran, maka usaha tersebut terbantut begitu sahaja. Kini saya berkongsi idea tersebut di ruangan ini, sekiranya ada sesiapa yang mampu berminat untuk merealisasikannya.



Idea tersebut timbul apabila melihat kepada keperluan susun atur perihal ilmu ini dalam satu buku yang komprehensif timbul. Lihat sahaja di kedai-kedai buku, rata-rata buku Ilmu Tajwid di susun di dalam bentuk penerangan mengikut bab. Ini memang sangat baik kerana menjelaskan secara terperinci akan sesuatu tajuk di dalam bab-bab ilmu Tajwid. Cuma di zaman yang semakin canggih ini, saya melihat keperluan untuk mnghasilkan sebuah kamus/ensiklopedia amat diperlukan. Sebahagian daripada mereka yang mempelajari ilmu Tajwid mungkin memahami ilmu yang dibincangkan, namun mungkin terdapat sebahagian yang lupa akan beberapa istilah-istilah dan takrifan tepat sesuatu istilah Tajwid atau Qiraat.
Dengan terhasilnya buku Kamus / Ensiklopedia Ilmu Tajwid ini, maka diharapkan dapat menjadi koleksi guru-guru Quran dan Tajwid, memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan seperti pelajar j-QAF, tahfiz, sekolah agama, menambahkan lagi pilihan bahan rujukan ilmu Tajwid, dan seterusnya meningkatkan lagi kemahsyuran serta kepentingan ilmu ini.

Contohnya:
H
Harf Ghunnah = [ditulis Arab] [keterangan:huruf dengung bersabdu iaitu pada huruf Nun bersabdu dan Mim bersabdu yang wajid didengungkan dengan sempurna, berlaku dalam satu perkataan atau dalam pertemuan dua perkataan yang diwasolkan,][contoh][nama lain, jika ada: juga dikenali sebagai Idgham Bi Ghunnah Musyaddadah, Wajibul Ghunnah atau Ghunnah.]
I
Ikhfa’ Majazi = sebutan Ikhfa’ secara sama-samar seperti pada Iqlab dan Ikhfa’ Syafawi.
Begitulah seterusnya, bermula dari A sehingga Z. Banyak sekali istilah-istilah yang boleh dihimpunkan bermula dari huruf Alif, hukum tajwid, sifat, makhraj, tahap kelajuan bacaan, simbol, qiroat dan pelbagai lagi.

Namun, seeloknya usaha menyusun buku ini dilakukan secara berkumpulan dan diketuai oleh seorang baik pemahaman/pakar, di samping itu mempunyai kemahiran menyusun maksud istilah supaya seragam dan bersistematik sekaligus mesra pembaca. Mungkin kalau ada berminat nak buat kumpulan penyusun, boleh saya sertai sama.

Khamis, 15 November 2007

MENGUSAHAKAN FILEM BERFAEDAH

Kecanggihan teknologi media sekarang ni makin meningkat ditambah pula dengan penglibatan teknologi komputer ke dalam usaha kreatif pembikinan filem terutama bagi menambah dan merealisasikan kesan-kesan khas. Namun bagaimana pula dengan kualiti isi dan pendidikan yang terdapat dalam hasil kreatif tersebut? Apakah dapat menambah kebaikan ke dalam kualiti hidup setiap modal insan yang ada dalam negara ini?



Justeru, saya ingin berkongsi idea berkenaan perkara ini. Mungkin lebih bermanfaat sekiranya pengusaha-pengusaha filem ini dengan menggunakan kepakaran dalam teknologi yang canggih ini untuk kesan khasnya, 3D, animasi dan pelbagai lagi dapat menghasilkan filem-filem dengan isi-isi yang jelas diterangkan di dalam Quran dan Hadis - antaranya kisah alam barzakh, proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh, peristiwa-peristiwa akhir zaman dan pelbagai lagi, bahkan mungkin beberapa senario yang digambarkan di Padang Mahsyar atau seumpamanya. Gambaran-gambaran tersebut beserta tujuan yang ikhlas dan benar pada jalan Allah diharapkan dapat memberikan kesan positif di dalam memandu kehidupan setiap insan untuk mencapai maksud sebenar penciptaan insan.

Di samping itu, proses penghasilan filem-filem sebegini mampu juga memberi peluang pekerjaan kepada ramai lulusan agama untuk menjadi penulis skrip, jalan cerita dan sebagainya. Mereka telah maju dalam industri nasyid, mungkin ini juga peluang mereka untuk maju di dalam industri perfileman.

Selasa, 13 November 2007

PENERAPAN BUDAYA MALU

Dewasa ini kita melihat pelbagai masalah berkaitan sosial berlaku di dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, rempit, dadah, ponteng sekolah, pakaian terdedah, kurang sopan, budaya merokok. Banyak lagi dapat disenaraikan dan yang sedihnya ialah majoriti yang terlibat ialah Melayu Islam. Bukankah bangsa kita ini suatu masa dahulu merupakan bangsa yang penuh dengan tatasusila sosial, etika pergaulan dan budi pekerti? Jika disebut sahaja perihal adat sopan dan seni beradab, maka sudah tentunya masyarakat Melayulah pemiliknya. Bagaimana dengan sekarang ini?



Apa yang saya lihat selaku insan kecil yang lemah ini, bangsa kita kini rata-ratanya telah hilang sifat atau budaya merasa malu sedikit demi sedikit, dan mungkin kini kian parah. Bukankah di zaman kegemilangan adat dan tatasusila Melayu dahulu, budaya merasa malu ini cukup menebal? Sekaligus perasaan malu bertempat yang sewajarnya menghalang anak bangsa dari melakukan perkara-perkara yang dianggap dan diterima oleh masyarakat sebagai perkara yang memalukan.

Bukankah dahulunya merupakan suatu perkara yang memalukan jika seorang anak gadis bermesra dengan teruna? Bukankan dahulunya amat memalukan jika ada ahli keluarga berpakaian yang kurang sopan apatah lagi menjolok mata? Bukankah dahulu amat memalukan jika anak-anak berkelakuan kurang sopan atau tidak beradab dengan orang-orang tua? Dan bukankah juga memalukan jika melakukan sesuatu yang mengganggu ketenteraman awam? Bandingkanlah halnya dengan zaman sekarang ini. Di manakah hilangnya sifat malu itu?

Alangkah baiknya jika budaya merasa malu bertempat ini dapat dipraktik dan diserapkan semul dalam masyarakat Melayu kini. Mulakan dengan perasaan malu dalam diri sendiri, seterusnya malu di dalam keluarga jika ada ahlinya yang bertentangan nilai akhlak dan moralnya, kemudian malu dalam masyarakat setempat yang melibatkan peranan Ketua-ketua Kampung, pemimpin dan seumpamanya.